ISTANBUL: Kerajaan Republik Guinea-Bissau dilaporkan tunduk dan akur kepada gesaan Israel untuk tidak membenarkan misi pelayaran Break The Siege: Freedom Flotilla to Gaza menggunakan bendera mereka.

Perkembangan terbaharu itu dikongsikan Jawatankuasa Pemandu Freedom Flotilla Coalition (FFC), Ann Wright menerusi taklimat bersama semua delegasi terlibat di Istanbul pada petang Jumaat.

“Kita dimaklumkan bahawa kerajaan Republik Guinea-Bissau menarik semula kebenaran menggunakan bendera mereka untuk kapal Akdeniz (Mediterranean) yang digunakan dalam misi pelayaran ini.

“Perkara ini telah dijangka daripada awal dan kita tahu rejim Israel akan lakukan apa sahaja untuk menghalang misi ini,” katanya.

Republik Guinea-Bissau pada masa sama juga meminta FFC menandatangani dokumen yang mengesahkan mereka tidak akan menggunakan kapal penumpang itu untuk ke Gaza.

Malah mereka juga meminta agar pihak berkuasa pelabuhan bagi lokasi terakhir yang dituju untuk memberi dokumen pengesahan bagi mengesahkan lokasi terakhir pelayaran kapal itu.

“Ketika ini, kami sedang berusaha mendapatkan bendera negara lain dengan melakukan pendaftaran di sana bagi membolehkan pelayaran dapat dilakukan.

“Ini kerana kita nak memastikan bantuan-bantuan ini tetap dapat sampai ke Gaza,” tambahnya.

Pada pagi Jumaat, Astro AWANI melaporkan misi pelayaran Break The Siege Freedom Flotilla to Gaza yang sepatutnya berlepas hari ini dari Istanbul, sekali lagi ditunda ke satu tarikh yang akan diumumkan kelak.

Menerusi kenyataan FFC, pihak rejim sebelum ini dilaporkan memberi tekanan hebat kepada Republik Guinea-Bissau untuk menarik balik benderanya daripada kapal utama yang digunakan dalam misi ini, Akdeniz (Mediterranean).

Susulan tekanan itu, kerajaan Republik Guinea-Bissau pula bertindak mengarahkan satu pemeriksaan menyeluruh terhadap kapal penumpang tersebut dijalankan.

Pada masa sama, kumpulan Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO) dari Malaysia turut menggesa kerajaan bagi membantu memudahkan misi pelayaran Break The Siege: Freedom Flotilla to Gaza.

Menerusi satu kenyataan pada Jumaat, gabungan ini menyeru Kerajaan Malaysia bagi menyokong kerajaan Republik Guinea-Bissau untuk memberi kebenaran menggunakan benderanya untuk kapal Akdeniz (Mediterranean) yang didaftarkan di negara itu.