AirAsia Bhd memulakan perkhidmatan penerbangan sulungnya dari Johor ke Ipoh hari ini, sebagai laluan baharu dalam rangkaian penerbangan syarikat itu yang luas.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia Riad Asmat berkata laluan baharu yang beroperasi empat kali seminggu itu merupakan usaha berterusan syarikat untuk mengembangkan capaian domestiknya.

"Kami komited untuk meningkatkan pertumbuhan pelancongan (tempatan) dengan menambah baik hubungan menerusi laluan baharu, dan perkhidmatan kami di Ipoh akan turut menyumbang kepada perniagaan tempatan dalam aspek pelancongan dan pewujudan peluang pekerjaan.

"Malah, hari ini merupakan sambutan berganda bagi AirAsia berikutan kami turut melancarkan laluan Johor-Alor Setar dengan penerbangan empat kali seminggu," katanya kepada pemberita pada majlis sambutan penerbangan sulung Johor Bahru-Ipoh AirAsia di sini hari ini.

Terdahulu, Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu, Pengarah AirAsia Datuk Aziz Bakar dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airports Raja Azmi Raja Nazuddin menyambut ketibaan seramai 120 penumpang dengan penerbangan sulung AK6082 itu.

Ahmad Faizal berkata beliau yakin penerbangan baharu itu akan meningkatkan lagi jumlah pelancong ke Perak dan menyumbang kepada ekonomi negeri.

Sementara itu, katanya Majlis Tindakan Pelancongan Perak ditubuhkan untuk membangunkan sektor pelancongan negeri ini.

"Antara tugas utamanya mewujudkan pelan induk untuk memacu sektor pelancongan negeri termasuk menjenamakannya semula bagi menarik lebih ramai pengunjung dari dalam dan luar negara," katanya.