Kumpulan Boustead Holdings Berhad (BHB) mencatatkan prestasi lebih baik bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2019, dengan untung selepas cukai disatukan RM84 juta berbanding dengan defisit yang dicatatkan pada suku tahun sama tahun lepas.

Untung Sebelum Cukai Disatukan pula meningkat kepada RM119 juta manakala hasil disatukan mencecah RM2.54 bilion.

Untuk tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2019 (6BTK19), Boustead mencatatkan Untung Selepas Cukai Disatukan lebih tinggi berjumlah RM96 juta dan Untung Sebelum Cukai Disatukan RM170 juta.

Angka tersebut dicapai berasaskan perolehan disatukan RM5.05 bilion.

“Pendapatan Kumpulan yang lebih tinggi bagi tempoh yang dilaporkan dipacu terutamanya oleh keuntungan atas pelupusan tanah perladangan berjumlah RM120 juta. Semua bahagian memberikan sumbangan positif kepada untung bersih Kumpulan, kecuali Bahagian Industri Berat dan Hartanah,” kata Datuk Seri Amrin Awaluddin, Pengarah Urusan Boustead Holdings Berhad.

Bahagian Perdagangan & Perindustrian ialah penyumbang utama untuk tempoh enam bulan, dengan untung sebelum cukai lebih tinggi berjumlah RM82 juta.

Ini disokong terutamanya oleh sumbangan lebih tinggi daripada Boustead Petroleum Marketing (BPM).

Ini mencatatkan peningkatan keuntungan pegangan stok dan juga margin dan jumlah jualan lebih tinggi. Prestasi tersebut mengimbangi sumbangan lebih rendah daripada UAC Berhad.


Bahagian Kewangan & Pelaburan mencatatkan untung sebelum cukai lebih tinggi berjumlah RM69 juta. Ini terutamanya disokong oleh sumbangan lebih besar daripada Affin Bank.

Di mana Affin Bank mencatatkan keputusan lebih baik kerana masuk kira semula kerugian rosot nilai kredit dan untung bersih lebih tinggi atas instrumen kewangan.

University of Nottingham di Malaysia juga memberikan sumbangan positif kepada Bahagian ini.


Bahagian Farmaseutikal mencatatkan untung sebelum cukai RM34 juta, iaitu peningkatan kecil berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Walaupun menghadapi margin lebih rendah dan kos kewangan lebih tinggi, kenaikan ini diterajui oleh sumbangan lebih tinggi daripada perniagaan konsesi dan bukan konsesi.


Bahagian Perladangan mencatatkan untung sebelum cukai RM70 juta berbanding defisit pada tempoh yang sama tahun lepas, berbekalkan keuntungan atas jualan tanah ladang berjumlah RM120 juta.

Bagaimanapun, Bahagian Perladangan ini terus terjejas dengan kesan kejatuhan ketara harga produk sawit. Harga purata minyak sawit mentah untuk tempoh enam bulan ialah RM2,003 setan metrik (TM), merosot 18% berbanding RM2,457 setan metrik untuk tempoh yang sama tahun lepas, manakala harga purata isirung sawit jatuh 40% kepada RM1,202 TM.

Pengeluaran tandan buah segar untuk tempoh tersebut berkembang sebanyak 13% kepada 488,198 TM.


Bahagian Hartanah mencatatkan defisit RM22 juta.

Sementara itu, segmen pembangunan hartanah menjana pendapatan positif disokong oleh sumbangan daripada Taman Mutiara Rini, tetapi ini diimbangi oleh segmen hotel yang mengalami kesan kadar penghunian dan kadar bilik lebih rendah dan juga defisit lebih tinggi daripada segmen pelaburan hartanah yang timbul daripada kos permulaan bagi Menara Nucleus yang baru siap.


Bahagian Industri Berat mengalami defisit RM63 juta, berasaskan keputusan kurang memberangsangkan daripada unit-unit operasinya.


Boustead Naval Shipyard mencatatkan kerugian untuk tempoh yang dilaporkan terutamanya disebabkan pelarasan margin dan perubahan tanda aras yang dicapai bagi projek Kapal Tempur Pesisir, walaupun ini diimbangi sebahagiannya oleh untung kasar lebih tinggi daripada aktiviti-aktiviti pembaikan kapal dan projek Kapal Misi Pesisir.


Boustead Heavy Industries Corporation pula mengalami kesan sumbangan lebih rendah daripada aktiviti penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih dan pengurangan bahagian untung daripada syarikat usaha sama.

MHS Aviation juga mengalami kesan daripada kekurangan projek dan juga kos penyelenggaraan angkatan pesawatnya.


Sejak memulakan perniagaan lebih 180 tahun lalu sebagai sebuah entiti perdagangan kecil, Boustead kini merangkumi lebih 90 anak syarikat, syarikat sekutu dan usaha sama, dan mempunyai kepentingan besar dalam pelbagai sektor ekonomi Malaysia.

Operasi Boustead tertumpu kepada enam bidang utama; perladangan, industri berat, hartanah, kewangan dan pelaburan, perdagangan dan perindustrian dan farmaseutikal.

Pada 30 Jun 2019, modal saham berbayar Boustead Holdings Berhad berjumlah RM2.7 bilion, manakala dana pemegang saham berjumlah RM5.4 bilion. Modal pasarannya kini berada pada paras kira-kira RM2.0 bilion.