KUALA LUMPUR: Seorang bekas kakitangan bank yang didakwa atas 80 kes jenayah melibatkan 155 jongkong emas milik pelanggan bernilai lebih RM6 juta bulan lalu dituduh lagi di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas tiga pertuduhan membabitkan dokumen palsu pada tahun 2019 dan 2021 lalu.

Mohd Saibulrijal Mohd Saad, 46, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Azrul Darus.

Mengikut semua pertuduhan, lelaki berkenaan didakwa menggunakan dua dokumen ‘Gold Safe Keeping Service Withdrawal Form’ dan satu ‘Letter of indemnity’ sebagai tulen sedangkan tertuduh mengetahui ia palsu.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Brickfields di sini, pada 15 Oktober 2019 dan 13 Januari 2021 lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum bawah Seksyen 465 kanun sama, yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Norfauzani Mohd Nordin mencadangkan mahkamah mengguna pakai kadar ikat jamin yang diberikan dalam prosiding kes lalu.

Peguam, Shahrulazwad Ismail yang mewakili tertuduh, tidak membantah perkara tersebut.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, hakim membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 14 Jun depan untuk sebutan semula kes.

Pada 27 Mac lalu, lelaki tersebut didakwa atas 80 pertuduhan pecah amanah, salah guna harta, memalsukan dokumen dan menipu kakitangannya membabitkan 155 jongkong emas milik pelanggan bernilai lebih RM6 juta, antara tahun 2019 hingga 2021 lalu.

Bagi 46 pertuduhan pemalsuan dokumen, tertuduh didakwa menggunakan dokumen tulen iaitu ‘Gold Safe Keeping Service Withdrawal Form’.

Mengikut 26 pertuduhan menipu pula, lelaki itu didakwa memperdayakan beberapa pegawai bank yang sama untuk mempercayai bahawa beberapa pelanggan mahu mengeluarkan dan membeli jongkong emas pelbagai berat menggunakan borang ‘Gold Safe Keeping Service Withdrawal Form’ yang dikatakan ditandatangani pelanggan.

Bagi tujuh pertuduhan, tertuduh yang memakai baju lokap berwarna putih didakwa menyalahguna harta iaitu jongkong emas milik empat wanita.

Bagi satu lagi pertuduhan, dia didakwa melakukan pecah amanah jenayah membabitkan dua jongkong emas kepunyaan seorang wanita bergelar datin berusia 75 tahun.

Semua kesalahan didakwa dilakukan di bank sama antara 15 Oktober 2019 hingga 24 Ogos 2021 lalu.

Dalam pada itu, semasa prosiding, Norfauzani memohon mahkamah melepas tanpa membebaskan (DNAA) tertuduh atas tiga daripada 46 pertuduhan pemalsuan dokumen, kerana kesilapan teknikal.

Azrul membenarkan perkara tersebut selepas pihak pembelaan tidak membantah permohonan pendakwaan berkenaan.

Bagaimanapun, selepas dia dituduh semula atas tiga pertuduhan baharu, jumlah keseluruhan kekal menjadi 80 kes. - Sinar Harian