Rangkaian pasar raya Cold Storage mengumumkan usaha sama keduanya dengan HappyFresh, perkhidmatan membeli-belah secara dalam talian, bagi meningkatkan pengalaman membeli-belah dalam talian.

Ketua Pegawai Eksekutif GCH Retail (Malaysia) Sdn Bhd Pierre-Olivier Deplanck, berkata menerusi usaha sama itu, pelanggan kini mempunyai pilihan untuk membeli-belah dari 10 kedai berlainan, termasuk Cold Storage, Mercato dan Jasons Food Hall.

"Usaha strategik ini sejajar dengan usaha kami untuk meluaskan operasi e-dagang di negara ini.

"Sama ada menerusi produk segar atau berkualiti dan kecekapan perkhidmatan, GCH Retail sentiasa mencari cara terbaik untuk menawarkan pengalaman membeli-belah yang menarik.

"Menerusi pakatan ini, HappyFresh dapat meluaskan liputan dan meningkatkan perkhidmatan kami di kawasan yang lebih luas," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Pelanggan kini mempunyai pilihan untuk membeli daripada premis Cold Storage di pelbagai lokasi menggunakan aplikasi dan laman web HappyFresh.

"Ini termasuk Cold Storage KLCC, Wangsa Walk, Great Eastern Mall, Jaya One, Subang Parade, Bandar Utama and Alamanda, Putrajaya, dan premis baharu lain yang akan ditambah termasuk Sunway Pyramid, Mont Kiara dan Section 14 Petaling Jaya," katanya. -- Bernama