Harga minyak mentah diramal melonjak sehingga AS$80 setong sekiranya Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah melaksanakan kembali sekatan terhadap Iran dan skop perang saudara di Syria diperluas.

Pakar Strategi JPMorgan Chase & Co dalam nota kajiannya, berkata bagaimanapun perang berpanjangan di Syria mungkin tidak akan memberi kesan besar kepada perubahan harga minyak kerana bekalan dari negara itu sudah terganggu sejak tujuh tahun lalu.

“Kemungkinan keputusan sekatan terhadap Iran pada Mei ini mungkin akan memulakan proses pengurangan tekanan dalam pasaran minyak sekaligus meningkatkan harga minyak ke paras lebih tinggi,” kata firma itu.

Nota kajian itu turut mengunjurkan kini adalah masa sesuai untuk memiliki saham kaunter tenaga.

Harga minyak kini berada pada paras tertinggi tiga tahun dengan Brent didagang pada AS$71.87 setong.