awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
Lain-Lain
  • Teknologi
  • Podcast
[TERKINI] Fisioterapi tanpa pembedahan pilihan terbaik Tun Mahathir, pemulihan dijangka ambil masa lama
Tiada lambakan durian di Perak, permintaan sentiasa tinggi - FAMA
AKPS tolak kemasukan sembilan warga asing di ICQS Bukit Kayu Hitam
  • POLISI PRIVASI
  • TERMA PENGGUNAAN
  • IKLAN BERSAMA KAMI
  • PELABUR

© 2025 Astro AWANI Network Sdn. Bhd. 200001032668(535275-D) All Rights Reserved.

Palestin kecam AS guna kuasa veto halang keanggotaan penuh negara itu dalam PBB

Bernama
Bernama
19/04/2024
12:15 MYT
Palestin kecam AS guna kuasa veto halang keanggotaan penuh negara itu dalam PBB
Presiden Palestin Mahmoud Abbas menyifatkan langkah itu sebagai "tidak adil, tidak beretika dan tidak wajar, mencabar kehendak masyarakat antarabangsa". - Gambar fail/AP
ISTANBUL: Palestin mengecam sekeras-kerasnya keputusan Amerika Syarikat (AS) yang menggunakan kuasa veto bagi menolak usul Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) pada Khamis yang menuntut keanggotaan penuh Palestin dalam PBB.
Dalam kenyataan, Presiden Palestin Mahmoud Abbas menyifatkan langkah itu sebagai "tidak adil, tidak beretika dan tidak wajar, mencabar kehendak masyarakat antarabangsa", lapor Agensi Anadolu.
Beliau menekankan bahawa dasar AS yang agresif terhadap Palestin, rakyatnya dan hak sah mereka merupakan pelanggaran undang-undang antarabangsa secara terang-terangan.
Presiden juga menyatakan bahawa veto AS menggalakkan kesinambungan perang genosid Israel terhadap rakyat Palestin di Gaza dan Tebing Barat, termasuk Baitulmaqdis yang diduduki.
Beliau juga menekankan bahawa veto mendedahkan percanggahan dalam dasar AS, yang mendakwa menyokong penyelesaian dua negara terhadap konflik Palestin-Israel sambil menghalang masyarakat antarabangsa daripada melaksanakan penyelesaian ini melalui penggunaan veto berulang kali.
Lima belas ahli majlis berkumpul di New York bagi mengundi draf resolusi yang dikemukakan oleh Algeria yang mengesyorkan kemasukan Negara Palestin untuk menjadi ahli PBB.
Keahlian itu disekat selepas 12 menyokong manakala dua berkecuali, termasuk United Kingdom (UK) dan Switzerland.
Palestin telah diterima sebagai negara pemerhati Perhimpunan Agung PBB pada 2012, yang membolehkan utusannya mengambil bahagian dalam perbahasan dan organisasi PBB tetapi tanpa undian.
Negara-negara diterima ke dalam keanggotaan PBB melalui keputusan Perhimpunan Agung atas cadangan Majlis Keselamatan, menurut Piagam PBB.
Resolusi majlis memerlukan sekurang-kurangnya sembilan undi memihak dan tiada kuasa veto oleh anggota tetap - AS, Britain, Perancis, Rusia atau China - untuk diluluskan.
Permohonan Palestin untuk menjadi ahli penuh PBB dibuat susulan serangan maut Israel di Semenanjung Gaza sejak serangan rentas sempadan 7 Okt lepas, yang telah membunuh hampir 34,000 rakyat Palestin.
-- BERNAMA
Topic Berkaitan
#Palestin
#Amerika Syarikat
#kuasa veto
#PBB
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
Iklan