Syarikat hospitaliti global, Hilton menyasar untuk berkembang di Malaysia dengan memperkenalkan dua jenama baharu, iaitu jenama mewah Conrad Hotels Resorts serta jenama gaya hidup Canopy by Hilton.

Menurut Hilton, jenama hotel baharu itu akan memasuki pasaran Malaysia dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.

"Hotel Canopy by Hilton pertama akan dibuka di Pusat Bandar Bukit Bintang pada suku keempat 2021, juga menjadi yang pertama bagi jenama itu di Asia Tenggara," kata Hilton dalam kenyataan hari ini.

Melangkah maju, Hilton akan membuka empat hotel DoubleTree by Hilton di negara ini, termasuk di Putrajaya dan Miri – DoubleTree by Hilton Putrajaya dengan 290 bilik dan DoubleTree by Hilton Miri merangkumi 320 bilik.

Selain itu, Hilton akan membuka DoubleTree by Hilton Kota Kinabalu dilengkapi 237 bilik, yang juga merupakan hotel kedua Hilton di Kota Kinabalu.

Hilton kini mengendalikan 11 hotel di Malaysia di bawah tiga jenama iaitu Hilton Hotel Resorts, DoubleTree by Hilton dan Hilton Garden Inn.

Naib Presiden Eksekutif dan Presiden Wilayah Asia Pasifik, Alan Watts berkata destinasi seperti Pulau Pinang dan Malaysia Timur menjadi semakin terkenal dalam kalangan pengembara domestik dan antarabangsa.

"Berdasarkan sasaran kerajaan sebanyak 36 juta pelancong menjelang 2020, dan pada masa sama komited untuk memajukan perjalanan dalam negara, kami melihat wujudnya potensi bagi portfolio jenama kami untuk memenuhi peningkatan permintaan di kebanyakan kawasan di negara ini," katanya. -- Bernama