Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) memasukkan mata wang Renminbi ke dalam senarai mata wang Hak Pengeluaran Khasnya (SDR).

Menurut Pengarah Urusan IMF Christine Lagarde, ini kerana mata wang itu didapati menepati kesemua kriteria yang diperlukan untuk dimasukkan ke dalam kumpulan tersebut.

“Jelas sekali penyertaan Renminbi adalah satu peristiwa penting dalam perjalanan yang telah mula berbulan lalu, jika tidak bertahun lalu, bagi peralihan China ke arah pasaran dan rangka kerja ekonomi makro yang didorong oleh pasaran,” kata Lagarde.

Tambah Lagarde, keputusan ini juga dibuat melihat kepada jumlah eksport dunia yang diniagakan menggunakan Renminbi serta penggunaan mata wang itu dalam pasaran kewangan dunia.

Tambahnya keterbukaan polisi China dalam menetapkan kadar faedah di samping ketelusan negara itu berkenaan data ekonominya turut mendorong IMF membuat keputusan ini.

Renminbi kini menyertai dolar Amerika, Euro, Yen dan Pound Sterling sebagai mata wang utama dunia di dalam SDR.

Lagarde berkata kemasukan Renminbi menjadi penanda aras penting dalam usaha mentransformasi ekonomi kedua terbesar dunia untuk menjadi lebih terbuka.

“Ini adalah satu peristiwa penting dalam perjalanan yang kini akan berterusan dan akan pastinya mempunyai lebih banyak pembaharuan bergerak ke hadapan,” tambah Lagarde.

SDR ditubuhkan sejak 1969 sebagai piawaian seragam bagi rizab tukaran asing bagi 188 negara anggota IMF.

IMF menyemak senarai mata wang di dalam SDR setiap lima tahun.

Renminbi sebelum ini dipertimbangkan IMF untuk dimasukkan ke dalam SDR di dalam sesi semakan pada 2010 tetapi ditolak kerana didapati tidak menepati kriteria yang diperlukan.

Kemasukan mata wang ekonomi kedua terbesar dunia itu akan berkuatkuasa Oktober 2016.