Kabinet dijangka membincangkan hubungan perdagangan Malaysia dengan Korea Utara pada mesyuarat Jumaat ini berikutan peningkatan ketegangan antara kedua-dua negara, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Kedua Menteri Datuk Seri Ong Ka Chuan.

Ong, ketika ditemui selepas merasmikan Pusat Inovasi T-Hub T-Sytems Malaysia di sini hari ini, berkata: "Saya fikir (Kabinet) akan membuat keputusan mengenai perkara ini (perdagangan)."

Agensi media melaporkan Korea Utara menghalang rakyat Malaysia daripada meninggalkan negara itu, yang menyebabkan Malaysia mengambil tindakan yang sama.

Ketegangan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Korea Utara tercetus susulan pembunuhan warga Korea Utara yang dilapor secara meluas sebagai Kim Jong-nam, abang pemimpin tertinggi negara itu Kim Jong-un pada 13 Feb lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa klia2.

Minggu lepas, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata tiada sekatan perdagangan telah dikenakan ke atas syarikat-syarikat Malaysia yang berminat menjalankan perniagaan dengan syarikat-syarikat Korea Utara atau di negara itu.

Ong berkata pada masa ini, perdagangan Malaysia dengan Korea Utara 'masih seperti sedia ada'.

"Pada masa ini masih seperti biasa atau perdagangan tetap seperti biasa melainkan Kabinet membuat keputusan baru," katanya.

Ketika ditanya sama ada terdapat banyak pelaburan oleh syarikat-syarikat Malaysia di Korea Utara, Ong menjawab: "Tidak juga"

"Korea Utara, kita (Malaysia) hanya mempunyai beberapa hubungan perdagangan. Mereka membeli minyak sawit dan bahan-bahan mentah kita. Itu sahaja. Kita tidak mempunyai kilang di sana," katanya.

Mengenai pelaburan Korea Utara di Malaysia, beliau berkata: "Tidak banyak. Mereka(warga Korea Utara) hanya peniaga, mereka hanya datang untuk membeli bahan mentah kita."

-- BERNAMA