Aktiviti-aktiviti berkaitan perjudian seperti nombor ramalan, kasino, kelab, loteri dan lumba kuda bakal dikenakan Cukai Jualan danPerkhidmatan (SST) apabila dikuat kuasa mulai 1 September ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ketika membentangkan Rang Undang-Undang Cukai Perkhidmatan 2018 untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat hari ini berkata, kadar akan dikenakan bagi SST adalah enam peratus.

Tegasnya, pelaksanaan cukai perkhidmatan yang baharu akan mengekalkan model dan skop berasaskan Akta Cukai Perkhidmatan 1975 yang dimansuhkan susulan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada 2015.

"Secara khususnya kepada perkhidmatan, hanya 43.5 peratus jumlah perkhidmatan akan dikenakan cukai perkhidmatan pada kadar 6 peratus.

"Ini adalah rendah daripada 64.8 peratus jumlah perkhidmatan yang sebelum ini dikenakan GST pada kadar yang sama.

"Ini jelas menunjukkan bahawa beban cukai SST ke atas rakyat, terutamanya cukai perkhidmatan, adalah lebih ringan daripada beban cukai GST," ujarnya.

Antara cukai perkhidmatan lain yang dikenakan ialah perkhidmatan penerbangan dan catar kapal terbang termasuk helikopter domestik (kecuali di Sabah dan Sarawak), perkhidmatan teknologi maklumat (IT) dan bekalan elektrik domestik bagi penggunaan lebih 600 unit sebulan.

Antara perkhidmatan lain yang ditambahbaik dan diseragamkan percukaian selaras dengan pelaksanaan SST bulan depan:

i. Perkhidmatan penginapan (hotel) yang diperluaskan kepada katil dan sarapan (B&B), kemudahan bersama, pangsapuri perkhidmatan dan inap desa;

ii. Perkhidmatan restoran termasuk katering, makanan bawa pulang, trak makanan dan penyediaan makanan minuman di outlet runcit;

iii. Perkhidmatan insurans dan takaful kepada perniagaan (B2B) diperluaskan kepada perlindungan insurans am yang ditawarkan kepada individu (B2C), tidak meliputi insurans perubatan;

iv. Perkhidmatan sewa pandu meliputi semua penyewaan kenderaan termasuk yang didaftar di bawah Akta Pelesenan Kenderaan Pelancongan 1999;

v. Semua perkhidmatan di kelab malam, kelab persendirian dan kelab golf atau lapang sasar;

vi. Semua perkhidmatan telekomunikasi termasuk khidmat tambahan seperti aplikasi dan permainan dalam pakej talian, perkhidmatan internet dan televisyen berbayar (satelit dan Internet).