Malaysia Airlines Bhd menyambut baik perubahan dalam caj lapangan terbang di Malaysia yang akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2017.

Awal tahun depan, caj lapangan terbang Kuala Lumpur akan menjadi sama untuk penerbangan domestik dan ASEAN dan pihak berkuasa merancang untuk penyamaan sepenuhnya menjelang 1 Januari 2018.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif, Peter Bellew berkata, caj baharu itu akan menyaksikan pengurangan kira-kira RM35 bagi setiap penumpang ASEAN di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), yang akan menjadi harga yang sama dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).

"Pelanggan kami mempunyai kebebasan untuk memilih mana-mana terminal yang mereka kehendaki di Kuala Lumpur," katanya.

Bellew berkata, bagi meraikan penyamaan itu, syarikat penerbangan itu akan mengadakan jualan "Tambang Kebebasan' mulai 2 hingga 8 November ini bagi laluan ASEAN terpilih dengan tambang termasuk semua daripada RM149 serta domestik daripada RM99.

"Ia adalah berita penting yang disahkan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) hari ini yang mereka akan melaksanakan penyamaan penuh ke atas laluan antarabangsa mulai 1 Januari 2018.

"Saya berharap dapat bekerjasama dengan MAVCOM bagi melaksanakan penyamaan penuh pada 2018 untuk penerbangan antarabangsa," katanya.

Menurut Bellew, syarikat penerbangan di klia2 akan menikmati penjimatan pada 2017 sebanyak RM23 daripada penerbangan antarabangsa yang bernilai kira-kira RM250 juta setahun.

"Industri Malaysia perlu memasarkan Kuala Lumpur secara bersama bagi menarik perkhidmatan antarabangsa baharu daripada pelbagai syarikat penerbangan. Sistem caj yang sama akan membantu mendapatkan penerbangan jarak jauh baharu," katanya. - Bernama