Bekas Ketua Pengarah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Jalilah Baba menegaskan nilai-nilai projek dari Jepun adalah lebih telus dan jujur berbanding negara lain.

Mempunyai pengalaman selama 35 tahun dalam menilai pelaburan ke Malaysia, Jalilah berkata sikap keterbukaan pihak Jepun dalam berkongsi maklumat dan berbincang tentang analisis kos faedah dan pulangan memudahkan sesuatu projek itu dilaksanakan.

“Syarikat Jepun akan tunjukkan kepada kita kos, sasaran, keuntungan dan apakah yang bakal terjadi kepada Malaysia hasil daripada projek yang disepakati,” katanya semasa ditemu bual Astro AWANI pada Khamis.

Jalilah memberi respon berikut ketika ditanya tentang pengalaman beliau berurusan dengan pelabur-pelabur dari Jepun dalam konteks lawatan kerja tiga hari Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ke Negara Matahari Terbit itu, baru-baru ini.

Menurutnya lagi, persediaaan mengenai projek yang dilakukan oleh syarikat Jepun membolehkan kedua-dua pihak melakukan analisis, namun terpulang kepada Malaysia untuk menilai segala yang ditawarkan agar dapat memberi pulangan kepada negara.

Dalam sesi temu bual sama, Jalilah turut mendedahkan kriteria yang diambil sebelum membenarkan mana-mana syarikat untuk melabur di Malaysia.

“Kita akan selidik latar belakang syarikat berkenaan termasuklah reputasi yang baik, tidak memiliki hutang yang banyak dan bebas daripada terkait dengan mana-mana aktiviti yang boleh mengundang muflis.”

Tambahnya, projek-projek cadangan daripada Jepun lebih mudah untuk dinilai memandangkan mereka lebih bersedia menjawab segala soalan yang diajukan.



Terdahulu, Tun Dr Mahathir Mohamad mempelawa Jepun untuk menjadi rakan kongsi dengan Malaysia dalam membangunkan negara Asia Tenggara.

Perdana Menteri menyampaikan pelawaan itu dalam satu pertemuan dengan para pemimpin organisasi utama ekonomi Jepun pada Selasa.

BACA: Dr M pelawa Jepun melabur di Malaysia