Ringgit sekali lagi melepasi paras psikologi 4.0 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dalam tempoh seminggu, dipacu oleh sentimen positif susulan pengumuman data pengeluaran perindustrian yang menggalakkan hari ini selain pengukuhan harga minyak mentah.

Pada 6 petang ini, ringgit ditutup pada paras 3.9850/9900 berbanding dolar AS daripada 4.0020/0070 pada Rabu.

Seorang peniaga berkata ini merupakan kali kedua ringgit diniagakan di bawah paras 4.0 berbanding dolar AS dalam tempoh seminggu selepas ditutup pada 3.9950/9990 pada Isnin.

Menurut peniaga, Indeks Pengeluaran Perindustrian Malaysia (IPP) pada November yang meningkat 5.0 peratus tahun ke tahun kepada 134.8, jelas memaparkan pertumbuhan ekonomi negara ini kekal memberangsangkan selain menyuntik sentimen positif terhadap unit tempatan itu.

"Malah, peningkatan harga minyak mentah dengan penanda aras, Brent, mencecah US$69.37 setong hari ini turut melonjakkan permintaan terhadap ringgit," katanya.

Sementara itu, Ketua Perdagangan Asia Pasifik Oanda Corp, Stephen Innes berkata pasaran kekal memberi tumpuan terhadap jangkaan kemungkinan Bank Negara Malaysia (BNM) bertindak menaikkan kadar dasar semalaman (OPR), tahun ini.

Selain dolar AS, ringgit turut diniagakan tinggi berbanding kelompok mata wang utama dunia termasuk dolar Singapura yang menyaksikan unit Malaysia itu ditutup di bawah paras 3.0 untuk hari kedua berturut-turut dalam masa seminggu.

Ringgit ditutup pada 2.9886/9926 berbanding dolar AS daripada 2.9975/9024 sebelum ini, tinggi berbanding euro kepada 4.7605/7681 daripada 4.7776/7844 semalam dan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.3738/3821 daripada 5.4019/4090 semalam.

Ia juga tinggi berbanding yen kepada 3.5695/5749 daripada 3.5806/5857 pada Rabu.

-- BERNAMA