Minuman isotonik pertama di Malaysia,100Plus dianugerahkan Logo Pilihan Lebih Sihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (MOH) berkuatkuasa Mac 2018.

Tahun lepas hanya 100Plus Original dan 100Plus Active yang menerima logo itu, tetapi selepas beberapa inisiatif, logo itu diperakui untuk semua produk yang dikeluarkan.

Menurut Naib Presiden Pemasaran Jenama F&N, Graham Lim, lebih separuh populasi rakyat Malaysia menghadapi masalah obesiti dan disebabkan itu, 100Plus mengambil inisiatif bagi menghasilkan produk yang lebih menyihatkan.

“Kami berjaya menghasilkan formula baharu untuk semua produk iaitu kandungan gula adalah di bawah 6 gram bagi setiap 100ml.

“Walaupun sukar untuk menyeimbangkan antara kehendak pengguna dan memberi kebaikan penghidratan, kami berjaya melakukannya,” kata beliau ketika Majlis Pelancaran 100Plus Logo Pilihan Lebih Sihat di Subang Jaya.

Graham Lim turut mengatakan, logo itu membuktikan,100Plus merupakan pilihan utama bagi rakyat Malaysia mengamalkan gaya hidup yang aktif dan sihat.

Pada majlis itu, 100Plus turut melancarkan produk baharu, 100Plus Anggur Hitam (Blackcurrant) yang merupakan perisa kegemaran bagi kebanyakan rakyat Malaysia.

Logo Pilihan Lebih Sihat merupakan inisiatif MOH bagi menggalakkan rakyat Malaysia memilih pemakanan yang sihat serta mempromosikan gaya hidup aktif.