Kejayaan Serba Dinamik Holdings Bhd termasuk menembusi pasaran antarabangsa menjadi kenyataan menerusi peluang yang diberikan di bawah Program Pembangunan Vendor Petronas, kata Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Dr Abdul Karim Abdullah.

Beliau berkata, syarikat juga mencapai kelebihan berbanding pesaing mereka melalui penggunaan penyelesaian untuk memacu kecekapan perkhidmatan.

Kecekapan perkhidmatan syarikat telah membantu banyak pelanggan meraih peningkatan pengeluaran dan keuntungan, katanya kepada Bernama selepas menerima Anugerah Ikon Usahawan Bumiputera daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, semasa Sembang Petang dan Himpunan Usahawan Bumiputera (HUB) di Bukit Jalil, pada Jumaat.

Dr Abdul Karim, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Serba Dinamik, berkata anugerah itu merupakan satu motivasi dan ia bukan sesuatu yang diharapkan ketika mula-mula menjadi usahawan.

Kejayaan berterusan syarikat merupakan satu perjalanan dan tidak akan berakhir, katanya.

Terdahulu, Najib turut menyampaikan Anugerah Peniaga dan Usahawan Kecil Bumiputera, Anugerah Usahawan Muda Bumiputera dan Anugerah Usahawa Wanita Bumiputera.

-- Bernama