Projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim International Airport (KXP) akan tetap diteruskan seperti yang dirancang biarpun projek pembangunan itu tidak disebut didalam pembentangan Bajet 2016 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Jumaat.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata segala proses berkaitan projek tersebut telah dibincangkan di peringkat Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri untuk langkah seterusnya.

"Walaupun projek KXP tidak disebut didalam bajet namun ia melalui perkembangan yang positif daripada Kerajaan Pusat melalui Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan saya yakin projek ini telah diambil perhatian," katanya.

Jelas Mukhriz, jika ia tidak disebut bukan bermakna projek KXP tidak dilaksanakan kerana banyak projek lain yang turut tidak disebut dalam rancangan Malaysia terdahulu seperti Rapid Penggerang di Johor namun perhatian mengenainya telah diberi dan dilaksanakan sesudah itu.

"Saya tidak kecewa sebab setakat ni perkembangannya sangat positif daripada Kerajaan Pusat khususnya Unit Perancang Ekonomi seperti mana yang saya nyatakan sebelum ini.

"Keputusannya akan dibuat pada bulan November ini cuma tidak sempat disertakan dalam bajet tempoh hari," katanya.

Beliau ditemui selepas Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Penyelerasan Industri (JBI) diantara Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Kerajaan Negeri yang turut dihadiri Menterinya Datuk Seri Mustapa Mohamed di Alor Setar pada Ahad.

Tambah Mukhriz projek Rapid Pengerang di Johor tidak termasuk dalam Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK-9) dan RMK-10 namun puluhan bilion ringgit telah dibelanjakan bagi pelaksanaan projek tersebut.

Sementara itu, Mukhriz berkata, beliau belum bersedia mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung Bajet 2016 yang dibentangkan Perdana Menteri kerana perlu diperincikan sebelum di dedahkan kepada umum.

"Kita sedang menyediakan satu kenyataan rasmi mengenai respon Kerajaan Negeri Kedah berhubung Bajet 2016 dan beberapa perkara yang tidak termasuk didalam bajet tersebut turut perlu diteliti terlebih dahulu sebelum kenyataan rasmi dibuat," katanya.