Uber di Amerika Syarikat kini bernilai RM336 bilion (AS$82 bilion) setelah meletakkan harga pembukaan saham mereka sebelum disenaraikan di New York Stock Exchange.

Ini bermakna penyenaraian Uber di pasaran saham terbuka adalah antara yang terbesar di dunia tahun ini.


HARGA SAHAM KONSERVATIF

Penyenaraian saham Uber dibuka dengan harga RM185 (AS$45) setiap satu saham. Julat harga saham diletakkan di antara RM180-RM205 (AS$44-AS$50).

Dengan julat ini, ia memberikan gambaran bahawa pelabur Uber merasakan bahawa penyenaraian ini adalah lebih konservatif kerana laporan sebelum ini menyatakan bahawa julat harga Uber mungkin mencecah ratusan dolar.

Di Amerika Syarikat, pencabar pasaran tempatan Uber di sana adalah Lyft. Syarikat Lyft telah disenaraikan di pasaran New York Stock Exchange pada bulan Mac 2019 dengan harga buka RM295 (AS$72) setiap saham.

Sehingga kini, harga setiap satu saham Lyft telah susut nilai sekitar satu pertiga daripada harga asal.

Apabila Uber meletakkan harga buka sekitar AS$45 (berbanding Lyft yang meletakkan harga buka saham sebanyak AS$72), ini memberikan isyarat bahawa Uber ingin mengelak perkara sama yang terjadi kepada Lyft (susut nilai) daripada terjadi kepada Uber.

Saham Uber mula didagang di New York pada Jumaat, 10 Mei.

Kali terakhir penyenaraian sebesar ini adalah apabila Facebook mula didagang di pasaran terbuka lebih tujuh tahun lalu.