Bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, diberikan pengiktirafan dengan menerima Anugerah William "Bill" Seidman bagi Pencapaian Sepanjang Hayat Kepimpinan dalam Industri Perkhidmatan Kewangan 2018 sempena Sidang Kemuncak Masa Depan Kewangan 2018 anjuran The Asian Banker.

The Asian Banker, berpangkalan di Singapura yang menjalankan aktiviti terutamanya penerbitan, forum dan perkhidmatan penyelidikan, merupakan penyedia paling berwibawa di rantau ini bagi kepintaran perniagaaan strategik kepada komuniti perkhidmatan kewangan.

Dalam kenyataan pada Khamis, The Asian Banker berkata anugerah diberikan pada majlis yang berlangsung di Aman Summer Palace di Beijing, China itu adalah untuk mengiktiraf pencapaian dan sumbangan sepanjang hayat Zeti dalam membentuk BNM menjadi pihak berkuasa pengawalseliaan yang bebas dan dihormati serta pembangunan industri perkhidmatan kewangan di Malaysia.

"Beliau merupakan antara pengawal selia bank yang paling dihormati dari Asia dan beliau ialah wanita pertama berkhidmat sebagai gabenor bank pusat di Malaysia selain individu kedua paling lama berkhidmat, iaitu selama 16 tahun sejak 2000 sehingga persaraannya pada 2016," menurut The Asian Banker. -- Bernama