PUTRAJAYA: Sekatan terhadap penceramah asing pro-Zionis perlu dilihat dari aspek keselamatan dan imej negara yang boleh terjejas akibat kenyataan mereka.

Justeru, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata dakwaan bahawa sekatan itu menyekat kebebasan akademik tidak seharusnya ditimbulkan.

"Saya harap mereka yang berkenaan yang membuat komen perlu membezakan antara konteks kebebasan akademik dengan kebebasan yang menyentuh tentang imej dan kedudukan negara," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Riang Ria Raya Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan seorang profesor tempatan yang berpandangan bahawa Universiti Malaya (UM) tidak seharusnya meminta maaf atas keputusan menjemput seorang penceramah Amerika Syarikat baru-baru ini sehingga menimbulkan kontroversi.

Baru-baru ini, tular di laman sosial X suatu hantaran dimuat naik profesor sains politik Bruce Gilley yang juga pro-Zionis, mengenai kehadirannya dalam sebuah program di UM.

Hantaran itu mendapat kecaman daripada rakyat negara ini sebelum dipadam Gilley yang memaklumkan dirinya telah meninggalkan Malaysia semalam.

Zambry pada masa sama mengulangi pendirian KPT yang menggalakkan setiap universiti agar menyemak terlebih dahulu latar belakang mana-mana pakar sebelum menjemput individu itu dalam sebarang majlis ilmu.

"Jika diteliti beliau (Gilley) dan latar belakangnya, termasuk penulisannya...kalau anda tengok dalam konteks kolonialisme dan imperialisme, bagaimana boleh dibenarkan pensyarah seperti ini datang dan mengajar kita.

"Kita ada ramai profesor di sini, lebih bagus daripada beliau. Sekali lagi, saya mahu tegaskan di sini, ini bukan soal cuba menyekat kebebasan akademik di Malaysia, ini mengenai imej dan kenyataan di luar konteks bidang akademik," katanya,

Beliau turut menyifatkan dakwaan Gilley bahawa Malaysia bukan negara selamat untuk dikunjungi sebagai kenyataan yang amat merbahaya sehingga menimbulkan ketidakselesaan banyak pihak.

"Sekarang pun kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia tidak selesa dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh beliau, sebagai contoh hari ini kedutaan US (Amerika Syarikat) menegaskan semula bahawa Malaysia masih selamat untuk dikunjungi," katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri Majlis Riang Ria Raya KPT yang dimeriahkan dengan kira-kira 3,000 tetamu terdiri daripada warga kementerian itu serta perwakilan asing.

-- BERNAMA