SEKURANG-KURANGNYA seorang terbunuh manakala lima yang lain cedera dalam serangan di ibu pejabat Khidmat Keselamatan Persekutuan Rusia (FSB) di tengah Moscow pagi ini.

Mangsa yang terkorban merupakan pegawai FSB manakala dua yang lain cedera parah.

Insiden tembakan itu berlaku beberapa jam selepas sidang media tahunan oleh Presiden Putin.

Penyerang yang belum dikenal pasti itu walau bagaimanapun berjaya ditembak mati pengawal ketika dia menyerbu pintu masuk bangunan dan menembak secara rambang menggunakan senjata api automatik, lapor portal Interfax.

Sejurus kejadian, pasukan keselamatan bertindak menutup kawasan itu dan memindahkan orang ramai ke bangunan bersebelahan.

Siasatan berhubung kejadian masih dijalankan.

FSB dalam pada itu menafikan laporan terdapat tiga lelaki bersenjata dalam serangan di ibu pejabatnya.

Laporan yang tidak disahkan itu berkata dua terbunuh di lobi manakala penyerang ketiga melarikan diri ke bangunan berdekatan namun terbunuh dalam tembak menembak dengan polis.

Siasatan tertumpu kepada cubaan bunuh pegawai penguatkuasa undang-undang dan kemungkinan ada kaitan dengan sidang media Vladimir Putin yang diadakan sebelum itu.