Banjir di wilayah-wilayah selatan Thai yang menjejas hampir setengah juta penduduk telah mengorbankan 14 nyawa setakat ini, menurut Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana hari ini.

Ketua Pengarahnya Chatchai Promlert berkata, 582,343 orang daripada 212,392 keluarga terjejas.
Banjir itu memaksa sekolah ditutup dan perkhidmatan keretapi digantung sementara.

"Banjir di selatan Thai yang bermula pada 1 Dis melanda 11 wilayah iaitu Chumphon, Surat Thani, Nakorn Si Thammarat, Krabi, Trang, Phattalung, Songkhla, Yala, Pattani, Narathiwat dan Ranong," katanya dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, kata beliau, banjir di Krabi, Yala dan Narathiwat semakin surut sementara Satun, Phang Nga dan Phuket tidak terjejas.

Sementara itu, di Kampung Bereh, Pattani, pasukan penyelamat dengan bantuan penduduk kampung masih mencari sepasangan budak lelaki berusia 14 tahun yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam parit dan dihanyutkan arus deras.

Riduan Salleh dan Ku Fitri Yaemaso adalah pelajar sekolah agama berhampiran.

Menurut rakan mereka, Ku Badru Yaemaso, kedua-dua mangsa dihanyutkan oleh arus deras setelah seorang daripada mereka tergelincir ke dalam parti dan seorang lagi cuba membantu menyelamatkan rakannya.

"Saya sedia terima ketentuan Ilahi. Dia (Riduan) anak sulung dari tiga beradik. Ayahnya meninggal dunia tiga tahun lepas," kata ibu Riduan, Maskah Resak, ketika ditemui hari ini.

Sementara itu, bapa Ku Fitri, Tuwae Abdullah Yaemaso berkata, sebelum kejadian dia dan anaknya baru saja pulang dari Malaysia. -- Bernama