PASUKAN astronomi antarabangsa termasuk penyelidik dari Universiti Cambridge mendedahkan penemuan planet kelas baharu yang sebelum ini digelar 'Ultrahot Neptune' dalam sistem suria pada Isnin.

Memetik kajian bersama yang dilakukan Universiti Cambridge dan Universiti De Chile dalam jurnal Nature Astronomy, planet gergasi itu mengorbit bintangnya 60 kali lebih dekat berbanding Bumi mengorbit matahari.

Penemuan itu direkodkan menerusi Transiting Exoplanet Survey Satelllite (TESS) iaitu sistem yang digunakan bagi pemerhatian ruang angkasa.

Planet yang diberi nama 'LTT 9779b' itu dipenuhi dengan logam dengan kepanasan sehingga 1,700 darjah Celsius.

Terletak kira-kira 260 tahun cahaya dari sistem suria, planet yang mempunyai sembilan peratus atmosfera itu bersaiz 28 kali ganda lebih besar dari Bumi.

Menurut Profesor James Jenkins dari Jabatan Astronomi dari Universiti De Chile, hasil penemuan itu amat bersejarah buat pasukannya.

"Penemuan LTT 9779b begitu awal dalam misi TESS adalah satu kejutan besar dan membuktikan kajian sebelum ini berhasil.

"Sebilangan besar keputusan transit yang dijalankan dalam jangka masa sehari kebiasaannya hanya menjumpai bintang binari dan bukan planet baharu," katanya.

Planet itu ditemui selepas seminggu pemerhatian dijalankan pada sektor kedua daripada 26 sektor cerapan TESS di seluruh langit.

“Kami memilih planet ini untuk dicerap selepas menerima dari amaran daripada TESS kerana tempoh orbitnya sangat pendek.

"Setelah memeriksa lekukan cahaya, kami mendapati bahawa ia adalah calon yang baik untuk kempen pemerhatian selama seminggu yang akan datang menggunakan spektrograf Pencari Planet Ketepatan Tinggi Halaju Jejarian (HARPS).

"Kami merancang pengamatan dengan hati-hati, untuk memaksimumkan penggunaan spektrograf dan sampel orbit," kata pengarang bersama jurnal Nature Astronomy Matias Diaz, juga dari University de Chile.

Sementara itu, Jabatan Astronomi Cambridge yang juga sebahagian daripada pasukan kajian itu turut menggunakan teleskop Next-Generation Transit Survey (NGTS) bagi melakukan pemerhatian susulan perjalanan LT9779b. Ia bagi mengesahkan sifat dan sistem planet berkenaan.