Tutup

Berita  | Dunia

Akibat komen negatif isteri, anggota tentera dikenakan hukuman

Akibat komen negatif isteri, anggota tentera dikenakan hukuman
Di Facebook, wanita berkenaan mempersoalkan sama ada serangan terhadap Wiranto itu dirancang untuk mengalihkan perhatian orang awam menjelang majlis pelantikan Presiden Joko Widodo. - Gambar hiasan
JAKARTA: Tentera Nasional Indonesia (TNI) telah mengambil tindakan disiplin termasuk menggantung tugas dua anggotanya susulan tindakan isteri masing-masing membuat komen negatif di media sosial berhubung insiden serangan terhadap menteri keselamatan negara itu, Khamis lalu.

Menurut media tempatan, isteri anggota tentera itu juga dirujuk kepada pihak polis kerana melanggar Akta Informasi dan Transaksi Elektronik (ITE).
Ketua Staf TNI (Angkatan Darat), Jeneral Andika Perkasa berkata, isteri anggota tentera berkenaan telah membuat kenyataan negatif mengenai keadaan Menteri Penyelaras Politik, Perundangan dan Hal Ehwal Keselamatan, Wiranto.

"Individu berkenaan membuat komen di media sosial yang kami anggap telah melanggar Akta ITE. Kami akan membawa kes ini ke mahkamah," katanya seperti dipetik oleh media tempatan hari ini.
Menurutnya, anggota tentera berkenaan juga akan dikenakan hukuman ketenteraan dengan menahan mereka selama 14 hari dan digantung dari jawatan mereka.

Pada masa sama, Tentera Udara Indonesia turut melaporkan seorang isteri pegawainya kepada polis kerana membuat kenyataan negatif mengenai Wiranto.

BACA: Pasangan suami isteri suspek kes tikam menteri Indonesia

BACA: Menteri Indonesia yang diserang pengganas kini stabil

Dalam tulisan di Facebook pada Khamis lalu, wanita berkenaan mempersoalkan sama ada serangan terhadap Wiranto itu dirancang untuk mengalihkan perhatian orang awam menjelang majlis pelantikan Presiden Joko Widodo atau lebih dikenali Jokowi untuk penggal kedua pada 20 Okt ini.

"Ini mungkin hanya drama yang dicipta oleh Wir (Wiranto)...untik mengalihkan perhatian orang ramai sebelum majlis pelantikan presiden tetapi jika benar-benar insiden tikam, saya harap individu yang menyerang berada dalam keadaan baik dan selamat daripada tindakan kekerasan polis dan orang yang ditikam, saya berdoa dia akan mati tidak lama lagi," menurut tulisan wanita itu yang dipapar dalam laman sesawang Tentera Udara Indonesia.

Khamis lalu, Wiranto, 72, bekas komander tentera, cedera ditikam di bahagian perut oleh seorang lelaki dipercayai ada kaitan dengan kumpulan pengganas tempatan ketika menteri itu tiba untuk merasmikan sebuah bangunan universiti di Pandeglang, wilayah Banten di Pulau Jawa.

-- BERNAMA


Tag: media sosial, wiranto ditikam, isteri tentera, komen facebook, joko widodo, alih perhatian, politik indonesia, hasutan



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.