Pengembara yang baru pulang dari kawasan yang diketahui menjadi tempat jangkitan virus Zika perlu mengikut amalan seks selamat atau menghindar diri daripada melakukan hubungan seks, untuk tempoh lapan minggu.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Selasa, menggandakan cadangan tempoh berjaga-jaga itu berbanding empat minggu yang sebelum ini disyorkan.

Tambah WHO, wanita yang bercadang untuk hamil pula perlu menunggu sehingga enam bulan jika pasangan mereka menunjukkan simptom virus berkenaan.

Isu berkaitan virus Zika dan penularannya membimbangkan masyarakat dunia, lebih-lebih lagi dengan penganjuran temasya Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil pada Ogos nanti.

Pada minggu lalu, lebih 100 saintis mendesak agar temasya Sukan Olimpik itu dipindah atau ditangguhkan susulan penularan virus Zika.

Dalam surat terbuka kepada WHO, kumpulan saintis tersebut berpendapat adalah tidak beretika untuk meneruskan penganjuran sukan berkenaan.

Kumpulan berkenaan terdiri daripada 150 saintis, doktor dan ahli etika perubatan dari institusi termasuk Universiti Oxford, Yale dan Harvard di Amerika Syarikat.

Begitupun, Pengarah Eksekutif WHO, Dr Bruce Aylward berpendapat bahawa pihaknya memantau situasi berkenaan berdasarkan penilaian risiko dan maklumat yang dikumpul sehingga kini.

"Tiada keperluan untuk temasya itu tidak diteruskan, dan kita cuma perlu pastikan keadaan selamat," ujarnya.