DALAM sehari dua ini, apa yang menghiasi media tempatan dan antarabangsa ialah cakap-cakap serta analisis tentang pilihan raya Myanmar, yang berlangsung 8 November lepas.

Di Malaysia tidak terkecuali. Paling banyak terisi, tentang kemenangan Parti Liga Kebangsaan Demokrasi (NLD) dan pulangnya Myanmar ke pangkuan demokrasi.

Paling kurang mengisi, cerita nasib Rohingya yang tidak diberi hak mengundi oleh kerajaan memerintah dalam amalan demokrasi itu.

Proses demokrasi

Tetapi apabila NLD menang majoriti, pemimpinnya Aung Sun Suu Kyi bakal bentuk kerajaan baharu hasil proses demokrasi itu, perhatian beralih pula kepada apa nasib Rohingya selepas ini?

Saya tujukan persoalan itu kepada seseorang yang saya kira amat tepat untuk mengulas mengenainya, iaitu AFK Jilani. Beliau warga Rohingya, banyak menulis tentang Myanmar, juga seorang ahli antropologi. Selebihnya, hidup ketika Aung San, bapa Suu Kyi memerintah Myanmar (ketika itu dipanggil Burma).

“Datang ke rumah, saya boleh bercerita panjang tentang Suu Kyi dan Rohingya, proses demokrasi dan keharmonian etnik lain di Myanmar,’’ katanya. Suara beliau di hujung corong telefon itu saya sambut dengan kunjungan ke kediamannya di Taman Sri Ukay, sehari kemudian.

“Bacalah, mudah-mudahan manfaat,’’ ujar AFK Jilani menghulurkan buku “Aung San Suu Kyi: A Lady of Destiny” tulisannya pada 2003 sebaik saya tiba di rumahnya.

Suu Kyi harapan minoriti

Menurutnya, buku itu ditulis ketika harapan begitu tinggi Suu Kyi ada suara dan kudrat untuk menghalang tindakan kejam tentera ke atas Rohingya dan beberapa minoriti lain seperti Karen dan Chin selain Shan. Kepada Suu Kyi, disandarkan harapan supaya resah dan luka Rohingya disisihkan dapat dirawat.

“Terlalu lama Rohingya menunggu, lama sebelum NLD menang besar pada 1990, tetapi dinafikan kemenangan oleh junta. Rohingya juga terus menunggu lagi, Suu Kyi ditahan di rumahnya sebelum dibebas pada 2002.

Lama sebelum itu, Rohingya juga setia menanti. Suu Kyi mendapat hadiah Nobel Keamanan pada 1991 kerana perjuangannya ke atas hak asasi di Myanmar, tiada apa-apa terjadi.

Mereka (Rohingya) menunggu lagi. Suu Kyi menjadi calon dan kemudian menunggu lagi sehingga NLD dan Suu Kyi menang kali kedua dalam tempoh lebih dua dekad.

Penantian Rohingya

“Apa hasil penantian Rohingya? Kecuali penyeksaan, Suu Kyi memberi jawapan mengecewakan sehari sebelum pilihan raya, dengan berkata jangan berlebih-lebih menyiarkan mengenai penindasan ke atas Rohingya,’’ kata beliau sebelum menyambung lagi, bahawa Su Kyi sekarang bukan seperti Su Kyi dahulu sebagaimana dikenali Rohingya dan warga Muslim lain di Myanmar.

Membaca buku “Aung San Suu Kyi: A Lady of Destiny” kemudiannya, saya memahami kekecewaan AFK Jilani. Bahawa sebelum ini, Suu Kyi ada berjanji untuk mengetepikan resah lukanya sendiri tetapi merawat sakit rakyat Myanmar, termasuk etnik yang dipingggir seperti Rohingya.

Tetapi nada kemudiannya bertukar, Suu Kyi pernah menjawab bukan sahaja Rohingya yang menjadi subjek keganasan, tetapi warga Buddha turut sama dijadikan sasaran keganasan. Malah, Rohingya juga kecewa apabila Suu Kyi membisu mengenai Rohingya sekali pun semasa isu Rohingya menjadi kontroversi dengan insiden “tolak menolak” di Laut Andaman pada Mei lepas.

“Tetapi, tindakan Suu Kyi sebegitu mungkin bertitik tolak daripada percaturan kejam politik Myanmar. Ya, memang benar NLD menang besar. Benar, Suu Kyi sebagai pemimpin NLD wajar meraikan kejayaan itu. Tetapi, perlembagaan tidak membenarkan Suu Kyi menjadi Presiden.

Sejumlah 25 peratus kerusi, tentera tetap kuasai. Empat portfolio penting termasuk Kementerian Dalam Negeri, Pertahanan, Kawalan Sempadan dan Imigresen kesemuanya dikuasai tentera.

“Senarionya, soal Rohingya dan etnik serta ketenteraman antara kaum adalah tanggungjawab Menteri Dalam Negeri dan Pertahanan. Suu Kyi tidak boleh menjadi Presiden. Isu Rohingya, terlalu jauh untuk diselesaikan, apa lagi untuk memberi pengiktirafan supaya Rohingya menjadi warganegara,’’ kata Dr Gerhard Hoffstaeder, Pensyarah University of Queensland ketika saya bertemunya di Bukit Bintang, sehari selepas selesai pilihan raya Myanmar.

Tidak harapkan keajaiban

Warga Rohingya yang menjadi pelarian di Malaysia pula mengakui mereka gembira NLD dan Suu Kyi menang. Tetapi, mereka tidak berharap apa-apa keajaiban daripada perkembangan itu.

“Ketika jari warga Myanmar lain menjadi biru hitam dicalit dakwat selepas mengundi, kami hanya tidur di rumah. Kami tidak boleh mengundi, jadi apa maknanya jika kami sedih atau gembira dengan hasil pilihan raya itu?,” soal Farouk, yang sudah 10 tahun berada di Malaysia.

Pilihan raya tidak adil

Apa yang dikatakan Farouk itu disambut senada oleh Profesor Dr Wakar Uddin, Pengarah Arakan Rohingya Union (ARU), yang kini tinggal di Pennsylvania, Amerika Syarikat (AS). Katanya, pilihan raya itu tidak adil, kerana tidak meletakkan penyertaan Rohingya, sedangkan dari segi sejarahnya, Rohingya adalah pribumi di Myanmar.

“Perlembagaan sepatutnya dihormati. Jika kerajaan menerintah adil, mereka tidak akan menghalang Rohingya mengundi, kerana perlembagaan memberi hak kepada semua untuk terlibat dalam proses dan dasar. Kalau mereka tidak mengiktiraf Rohingya, kenapa ada Radio Rohingya dan dibenarkan ke udara sebelum ini, kalau Rohingya tidak boleh mengundi, mengapa ada calon atau wakil rakyat Rohingya sebelum merdeka?,’’ kata beliau.

Yang dirujuk beliau ialah, wakil rakyat Rohingya sebelum ini, Sultan Mahmood, yang kaya dan berpengaruh dilantik menjadi Menteri Kesihatan semasa pentadbiran U Nu. Beliau sebelum itu adalah Setiausaha Politik kerajaan U Nu.

Dr Wakar sepatutnya bertanding pada pilihan raya berkenaan, tetapi dibatalkan saat-saat akhir sebelum pilihan raya selepas calon Muslim tidak dibenarkan bertanding.

Pembaharuan Myanmar, penantian Rohingya

Adalah dijangkakan, perkembangan politik Myanmar selepas ini akan menjadi lebih menarik, apabila kerajaan baharu dibentuk. Dunia menunggu nasib Suu Kyi _ mentadbir di belakang tabir atau menjadi perintis penyatuan kebangsaan.

Barangkali memang benar, takdir Suu Kyi adalah menang dan terus menjadi heroin di hati rakyat Myanmar. Barangkali, juga nasib Rohingya terus rugi dan tetap menunggu kerana ternyata, Rohingya tidak bermakna apa-apa baik untuk Myanmar atau heroin yang sepatutnya mengubat luka mereka.

Dengan kata lain, Rohingya barangkali perlu terus menunggu dan menderita menanti.

Mereka makhluk paling malang di planet ini.