CAPE TOWN: Sebuah perpustakaan kampus universiti di Afrika Selatan musnah dalam kebakaran yang memaksa lebih 4,000 penuntutnya dipindahkan pada Ahad.

Kebakaran awal di lereng Table Mountain berhampiran pekarangan University of Cape Town itu dilapor merebak dan menyambar tingkap perpustakaan yang menempatkan arkib dan koleksi buku bersejarah.

Sekurang-kurangnya dua tingkat Perpustakaan Jagger itu terbakar, menurut laporan berita tempatan.

Turut terbakar beberapa bangunan dalam kampus, dan sebuah kincir angin bersejarah.

Di luar kampus universiti, angin membuatkan api merebak ke kawasan rumput kering, dan sebahagian dari Rhodes Memorial Restaurant juga terbakar, lapor media Cape Town.

Lebih 100 anggota bomba dikerahkan ke kampus universiti dan ke Taman Negara Table Mountain.

Empat helikopter turut digunakan dalam usaha memadamkan api.

Seorang anggota bomba cedera dan sedang dirawat di hospital, menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Cape Town.

Penduduk telah diberi amaran agar berjaga-jaga, kata Charlotte Powell, jurucakap pusat pengurusan risiko bencana di bandar raya itu, dalam satu kenyataan.

"Ketika ini, tidak ada keperluan untuk memindahkan penduduk, tetapi kami meminta mereka menutup semua tingkap bagi mengurangkan kesan haba panas dan membasahkan tanaman menggunakan air paip atau melalui sistem pengairan," kata Powell.