Seorang bayi berumur 10 hari maut selepas digigit seekor tikus di bahagian mata dan jari di Hospital Guntur, Andhra Pradesh, India.

Memetik laporan portal Daily Mail, tiga kakitangan hospital yang bertanggungjawab menjaga bayi berkenaan, digantung kerja berikutan kejadian itu.

Ibunya, Chavali Lakshmi berkata, kejadian tersebut disedari selepas mendapati jari bayinya mempunyai kecederaan seperti digigit ketika berada di unit rawatan rapi neonatal.

Malah, mata kiri bayi berkenaan juga rosak akibat digigit.

"Anak kami telah bersedia untuk menjalani pembedahan tetapi kemudian kami menyedari luka pada tangan kanannya,”kata si ibu.

Ketua Menteri Andhra Pradesh, N. Chandrababu Naidu berkata beliau telah menggantung tiga pegawai bertugas serta mengarahkan siasatan terhadap kejadian tersebut.

Menurut Chandrababu, beliau sangat terganggu setelah mengetahui bayi lelaki tersebut maut akibat digigit seekor tikus di hospital Guntur.

Beliau juga memberi amaran kepada pihak hospital agar kejadian seperti itu tidak lagi berulang.