Bayangkan suatu jenama yang terkenal disalah eja tapi sudah terpampang kepada umum. Itu mungkin akan membawa rasa malu bagi pihak syarikat.

Lain pula halnya dengan syarikat penerbangan berpangkalan di Hong Kong, Cathay Pacific.

Apabila salah satu pesawatnya dicat dengan kesilapan ejaan ‘Cathay Paciic’, syarikat itu langsung tidak menyembunyikannya.

Malah, bahagian media sosial syarikat itu memuat naik gambar berkenaan ke platform digital, untuk menunjukkan kapal terbang dengan nama yang disalah eja tersebut.

Dalam status di Facebook itu, syarikat tersebut berkata: "Berita gempar! Pesawat edisi terhad Boeing 777 membuat kemunculan. Oops, pakaian lekapan istimewa pesawat ini tidak akan kekal lama! Ia akan dipulangkan semula ke kedai!”


Kesilapan yang dijadikan jenaka umum itu menerima pujian daripada pengguna internet yang menyifatkan pasukan perhubungan awam Cathay Pacific mempunyai pendekatan yang santai dan menarik.

Akhbar South China Morning Post melaporkan, kesilapan ejaan itu melibatkan kos yang besar, hingga menelan belanja beribu-ribu dolar.

Namun, sesetengah netizen juga menganggap itu satu 'PR stunt' atau gimik untuk mencuri tumpuan dan mendekatkan lagi orang ramai terhadap kewujudan jenama tersebut.