announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Berita  | Dunia

COVID-19: Penduduk isi masa main kuiz beramai-ramai dari balkoni

COVID-19: Penduduk isi masa main kuiz beramai-ramai dari balkoni
Noam Cartozo bertanyakan soalan kuiz kepada jiran dari tingkap rumahnya. -Reuters
PARIS: "Bendera negara mana yang mempunyai garis silang berwarna kuning pada latar belakang berwarna biru?" teriak Noam Cartozo bagi bertanyakan soalan kuiznya dari tingkat kelima apartmennya di Paris.

"Sweden!" jawab jirannya yang berada di blok apartmen bersebelahan dengannya, sambil menerima tepukan orang ramai sebaik jawapan yang diberikan itu tepat.

Itulah hiburan bagi penduduk di Rue Saint-Bernard, yang terletak di daerah ke-11 Paris, Perancis dalam usaha menghilangkan rasa bosan berikutan perintah berkurung yang ditetapkan oleh kerajaan sejak sebulan lalu.

Noam Cartozo, seorang pelakon dan pelawak, juga menganjurkan soalan kuiz itu kepada orang ramai menerusi akaun Instagramnya yang kini sudah mencecah jumlah tontonan hampir satu juta.

"Saya nampak jiran-jiran agak sedih dengan langkah kawalan ini," kata Cartozo, yang mengadakan kuiz dengan menyarungkan tisu tandas pada lehernya bagi menghiburkan yang lain.

"Saya ingin hangatkan suasana di kawasan kejiranan saya... sebab itulah saya buat semua ini,” kata Cartozo kepada Reuters.

Perancis kini menjadi negara keempat dengan jumlah kematian tertinggi COVID-19 di dunia sebaik angka korban melepasi 10,000 setakat Khamis.

Terdahulu, pihak berkuasa negara itu mengumumkan bahawa perintah berkurung itu hanya berupaya untuk memperlahankan penyebaran wabak berkenaan dan setakat ini tiada lagi perkembangan tempoh tamat arahan tersebut.

Cartozo tampil dengan idea untuk mengadakan kuiz tersebut setiap jam 8 malam waktu tempatan apabila orang ramai berkumpul di balkoni bagi memberikan tepukan gemuruh kepada petugas kesihatan yang pulang ke rumah.

Bagi memeriahkan lagi suasana dan menghidupkan lagi atmosfera, Cartozo turut memainkan muzik tetapi dia melihat bahawa dirinya sahaja yang asyik dengan tariannya sendiri.

“Kesudahannya saya membuat keputusan untuk memberi mereka beberapa soalan kuiz dan daripada situ, mereka memberikan sambutan baik” katanya.

Menurut Laura Coles, salah seorang penduduk di situ berkongsikan kepada Reuters bahawa kehadiran Cartozo dalam memberikan idea sebegitu menjadikan harinya kurang membosankan.

BACA: Obesiti jadi risiko besar jika dijangkiti COVID-19 - Pakar

BACA: COVID-19: 1.41 juta dijangkiti di seluruh dunia, lebih 80,000 kes baharu dalam 24 jam