Singapura mengesahkan secara awal pertambahan 305 kes jangkitan COVID-19 menjadikan jumlah keseluruhan 28,343 kes.

Kementerian Kesihatan (MOH) republik itu mengumumkan hanya dua kes melibatkan rakyat Singapura atau Penduduk Tetap manakala jumlah majoriti melibatkan pekerja asing yang ditempatkan di asrama.

"Jumlah kes yang rendah hari ini susulan kurangnya ujian yang diproses kerana satu daripada makmal ujian sedang menjalani pemeriksaan berikutan isu penentukuran radas, dan akan mengambil masa untuk meningkatkan keupayaan ujiannya," kata MOH dalam satu kenyataan pada Isnin.

MOH menjelaskan ia masih berusaha mendapatkan butiran kes dan akan memaklumkan perkembangan terbaharu kemudian.

Lewat Ahad, semasa mendedahkan data penuh, kementerian menyatakan 998 lagi kes jangkitan COVID-19 telah dibenarkan pulang dari hospital atau fasiliti pengasingan komuniti, menjadikan jumlah yang pulih 9,340.

Buat masa sekarang terdapat 1,210 kes disahkan masih berada di hospital dengan 16 dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi.

Menurut MOH, 17,466 yang dikesan mempunyai simptom ringan atau secara klinikal sihat tetapi masih positif COVID-19 diasingkan dan ditempatkan di fasiliti komuniti. Setakad ini, 22 mati akibat COVID-19 di republik ini.

- BERNAMA