KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengeluarkan data mengenai kemalangan jalan raya setiap hari, bukan setahun sekali seperti diamalkan sebelum ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, perkara itu antara yang diputuskan dalam Mesyuarat Kabinet pada Rabu.

Menurutnya, kematian melibatkan kemalangan jalan raya sebenarnya lebih tinggi daripada COVID-19 dan kerajaan mahu rakyat sedar mengenai bahaya itu.

“Setiap hari akan dikeluarkan data hari sebelum itu oleh PDRM. PDRM telah bersetuju.

“Sekarang ini, biasanya statistik itu hanya dikeluarkan sekali setahun, dikumpulkan jumlah kemalangan dan dikeluarkan setahun sekali. Itu memberikan gambaran yang tidak memberikan kebimbangan kepada orang ramai.

“Apa yang kerajaan nak buat ialah meningkatkan kesedaran orang ramai bahawa kemalangan jalan raya ini adalah antara punca kematian kepada negara kita.

“Ia perlu diambil serius semua pihak… kadangkala kemalangan juga disebabkan oleh kecuaian pemandu sendiri,” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen pada Rabu.

Berkongsi data kematian akibat kemalangan pada 2023, beliau memberitahu sebanyak 18 kematian direkod setiap hari, bersamaan purata satu kematian setiap 80 minit. 

Daripada jumlah itu, sebanyak 12 kematian sehari melibatkan penunggang motosikal, yang bermakna setiap 2 jam, seorang penunggang motosikal maut..

Dalam pada itu, beliau memberi jaminan ia akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

Jelas Anthony, beliau mahu format data itu sama seperti data kes COVID-19, lengkap dengan jumlah kes kemalangan dan kematian.