Berita  |  Dunia

Derita Rohingya: Kalau bukan kita, siapa lagi?

Derita Rohingya: Kalau bukan kita, siapa lagi?
Lelaki Rohingya, antara peserta himpunan di luar Kedutaan Myanmar di Kuala Lumpur pada Nov 25, 2016. Foto: AWANI / SHAHIR OMAR
Isu kekejaman terhadap kaum Rohingya, sekali lagi menghiasi halaman akhbar-akhbar utama.

Banyak imigran Rohingya telah meninggalkan tanah air mereka dan belayar ke negara-negara lain dalam kapal-kapal usang dengan harapan untuk mengelak penganiayaan di bumi sendiri.

Sesetengah daripada mereka telah berjaya memulakan hidup baru di Malaysia dan selebihnya ada yang diseksa dan/atau dibunuh di tangan penyeludup-penyeludup manusia.


Malaysia sekarang ini melindungi lebih dari 40, 000 masyarakat Rohingya di seluruh negara.

Walaupun begitu, Malaysia telah dikritik oleh beberapa akhbar atas talian antarabangsa.

Di dalam satu laporan bertajuk ‘Concerned about Rohingya ‘genocide’? Then sign UN treaties’, yang diterbitkan oleh Asian Correspondent, Malaysia dikritik kerana tidak meratifikasikan triti-triti Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengenai pelarian.

Foto: AWANI/SHAHIR OMAR

Dalam erti kata yang lain, laporan ini secara tersirat menyatakan bahawa Malaysia tidak patut mengatakan apa-apa dalam isu ini sehingga Kerajaan Persekutuan di Putrajaya menandatangani triti PBB yang berkaitan.

MESTI BACA: Krisis Rohingya: Apa sudah jadi pada solidariti ASEAN? 

Lagipula, akhbar Asian Correspondent juga telah membidas Malaysia di dalam artikel berjudul ‘Shattered dreams: Dim future for the Refugee Child in Malaysia’ walaupun Malaysia telah berusaha menempatkan dan melindungi pendatang-pendatang Rohingya di negara ini bertahun lamanya.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd Najib Razak baru-baru ini ada menyampaikan ucapan di himpunan pro-Rohingya di Kuala Lumpur pada hari Ahad, 4 Disember 2016 menyatakan bantahan terhadap kekejaman yang berlaku terhadap kaum Rohingya di Myanmar.


Perkara ini telah membuakkan kemarahan di Myanmar yang mengatakan Malaysia telah menyebarkan berita-berita palsu mengenai isu pembunuhan beramai-ramai dan ‘prinsip berkecuali’ yang diamalkan oleh Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) telah dilanggar.

MESTI BACA: Panglima Angkatan Tentera Malaysia adakan pertemuan dengan Presiden Myanmar 

Isu Rohingya ini bukan lagi isu dalaman Myanmar kerana migran-migran ini secara perlahan mengembara ke selatan menuju persisiran kita.

Orang-orang ini adalah seperti kita semua – manusia yang perlukan makanan, perlindungan dan tempat tinggal.

Patutkah kita menghulurkan bantuan kepada masyarakat Rohingya atau membiarkan kekejaman terus berleluasa terhadap masyarakat yang tidak diinginkan ini?


Sejarah

Masyarakat Rohingya adalah orang-orang Islam yang menetap di daerah Rakhine (dahulunya Arakan) di Myanmar, bersempadanan Bangladesh dan mereka secara etnik dan bahasa adalah berbeza dengan kumpulan etnik yang lain di Myanmar.

Walaupun terdapat pendapat bahawa orang-orang Rohingya adalah orang asal daerah Rakhine, terdapat sejarawan-sejarawan lain yang mengatakan bahawa mereka mula berpindah dari Bengal dan menetap di Rakhine sebagai pedagang seawal kurun ke 15 Masihi.

Mencapai kegemilangan pada kurun ke 17 dan 18 Masihi, keunggulan Empayar Burma mula tersirna setelah digempur kekuatan ketenteraan British dan telah menaklukkan Myanmar sebagai sebahagian dari British Raj pada tahun 1885. 


Nasib anak-anak Rohingya menumpang hidup di Malaysia

Sewaktu era British Raj, orang-orang Rohingya tiba dalam jumlah yang besar ke Myanmar pada kurun ke 19 Masihi untuk bekerja di ladang-ladang sebagai buruh, kerana tanah-tanah subur di Rakhine berpenduduk jarang pada waktu itu.

Sebagai pedagang dan buruh, masyarakat Rohingya telah banyak menyumbang terhadap kemajuan ekonomi daerah Rakhine. Migrasi ini berakhir setelah Myanmar mencapai kemerdekaan pada tahun 1948.

Situasi ini boleh disamakan dengan kedatangan orang-orang bukan Melayu ke Tanah Melayu.

Migrasi orang-orang Cina yang pertama, lebih dikenali dengan masyarakat Baba-Nyonya, ke Tanah Melayu berlaku sewaktu era Kesultanan Melayu Melaka pada kurun ke 15 Masihi tetapi tidak dalam jumlah yang banyak.

Walaubagaimanapun, pemerintah kolonial British menggalakkan migrasi besar-besaran kedua-dua masyarakat Cina dan India ke Tanah Melayu pada kurun ke sembilan belas dan ke dua puluh Masihi sebagai buruh murahan untuk menampung kemajuan pesat industri timah dan getah di Tanah Melayu pada ketika itu.

Seperti kebanyakan pekerja-pekerja Indonesia dan Bangladesh di Malaysia pada saat ini, imigran-imigran bukan Melayu tidak mempunyai niat untuk menjadikan Tanah Melayu tanah tumpah darah mereka melainkan sekadar destinasi peluang pekerjaan.

Imigran Rohingya di Myanmar dan pendatang bukan Melayu di Tanah Melayu mengalami takdir yang berbeza.


Etnik Rohingya mahu Malaysia terus membela hak asasi

Sementara masyarakat imigran Cina dan India diterima secara bersyarat oleh orang-orang Melayu dan diberikan kerakyatan sewaktu Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, masyarakat Rohingya pula ditindas, didiskriminasi dan tidak diterima sebagai rakyat Myanmar.

Secara kontras, di bawah pentadbiran terkini, masyarakat Cina dan India (bersama-sama orang-orang Melayu) di Malaysia diperlakukan selayaknya sebagai rakyat dan banyak yang berjaya menjadi ahli politik terkenal dan usahawan-usahawan yang berjaya.

Secara umumnya, kerajaan Myanmar menghormati semua agama dan mengiktiraf Islam sebagai salah satu agama yang dianuti masyarakat di negara tersebut.

Kewujudan masjid bersebelahan Pagoda Sule di bandaraya Yangon adalah simbol toleransi agama di Myanmar.

Terdapat populasi penduduk Melayu Islam yang banyak di daerah Tanintharyi di selatan Myanmar terutama di pekan-pekan seperti Kampong Tengah, Kampong Ulu dan Pase Panjang.

Komuniti-komuniti Melayu Islam ini menerima hak samarata sebagai rakyat Myanmar seperti kumpulan-kumpulan etnik lain di Myanmar.

Penindasan yang dilakukan terhadap masyarakat Rohingya bukanlah atas faktor agama, tetapi kebencian terhadap komuniti ini.

Majoriti rakyat Myanmar menganggap masyarakat Rohingya sebagai pendatang haram yang berasal dari rantau Bengal tidak memiliki apa-apa persamaan dengan kumpulan etnik Myanmar yang lain dan oleh itu, harus diusir dari Myanmar.


Penindasan

Terdapat kira-kira 2 juta orang-orang Rohingya di serata dunia dan majoriti daripada ini terdapat di Myanmar, yang didiami 735, 000 masyarakat Rohingya di kawasan utara daerah Rakhine.

Pertubuhan hak asasi manusia dan media antarabangsa telah menyatakan bahawa orang-orang Rohingya sebagai ‘golongan paling tidak diinginkan di dalam dunia’ dan ‘salah satu kaum minoriti paling ditindas’.

Kaum Rohingya telah berjuang untuk hak-hak mereka sejak kependudukan Jepun di Myanmar pada tahun 1941.


Selesaikan akar masalah Rohingya terlebih dahulu

Apabila Jepun menyerah kalah, pihak Rohingya menganjurkan gerakan pemisahan untuk menyatukan daerah Mayu di Rakhine sebagai sebahagian dari Pakistan Timur.

Akan tetapi, gerakan ini gagal mencapai tujuan.

Ini kemudiannya menyebabkan kaum Rohingya berjuang untuk menubuhkan daerah autonomi Muslim di Rakhine pada 1950an.

Gerakan ini berhadapan penentangan terutama dari kudeta Burma diketuai Jeneral Ne Win yang melancarkan operasi ketenteraan ke atas masyarakat Rohingya selama dua dekad bermula 1962.

Pada tahun 1982, kerajaan Burma secara efektif menafikan hak kerakyatan Rohingya menerusi penggubalan Akta Kerakyatan 1982.

Sejak itu, masyarakat Rohingya dianggap pendatang haram dan tidak diterima sebagai rakyat Myanmar.

Rusuhan Rakhine 2012 adalah siri konflik yang terjadi di antara orang-orang Muslim Rohingya dan etnik Rakhine.

Keganasan terhadap kaum Rohingya masih lagi terjadi sehingga hari ini menyebabkan aliran pelarian secara besar-besaran dari Myanmar ke negara-negara jiran di sekeliling.

Kerajaan Burma telah secara rasmi menafikan berlakunys keganasan terhadap kaum Rohingya.

Akan tetapi, berbeza dengan laporan antarabangsa, kaum Rohingya dilaporkan telah diasingkan di dalam kem-kem tahanan dengan sedikit atau tiada bekalan air atau makanan, didiskriminasikan dan diperlakukan dengan keganasan.


Prinsip Berkecuali

Sebagai salah sebuah negara anggota yang menubuhkan ASEAN, Malaysia menghormati prinsip berkecuali  - prinsip asas bahawa negara-negara ASEAN tidak mencampuri urusan dalaman negara-negara anggota lain.

ASEAN mendokong konsep ‘mensejahterakan tetangga’.

Memang benar awalnya, isu Rohingya adalah isu dalaman Myanmar.

Akan tetapi, adakah ianya masih isu domestik apabila ribuan pelarian Rohingya melarikan diri ke persisiran kita dan negara-negara lain dalam rantau ASEAN di dalam bot-bot usang mencari perlindungan dari penganiayaan?

Adakah kemanusiaan sebuah isu global atau hanya isu dalaman sesebuah negara?

Nyawa manusia sangat berharga tanpa mengira agama, kaum dan warna kulit dan oleh itu, sepatutnya dihormati dan dijaga sedemikian rupa.


Patutkah Malaysia Membantu?

Foto: AWANI/SHAHIR OMAR


Walaupun Malaysia adalah sebuah negara muda, Malaysia telah menyertai secara aktif dalam usaha menentang penganiayaan global.

Malaysia tidak menjalinkan hubungan diplomatik dengan Afrika Selatan sehingga runtuhnya regim Apartheid di negara tersebut pada tahun 1994.

Lagi pula, Malaysia juga secara aktif membantu pelarian Bosnia yang meninggalkan negara itu pada tahun 1994 dan melindungi pelarian-pelarian Rohingya dan Syria sehingga ke hari ini.

Malaysia telah dikritik kerana tidak meratifikasikan triti PBB mengenai pelarian walaupun telah bertahun-tahun melindungi imigran Rohingya.

Pilihan sama ada untuk meratifikasikan mana-mana triti antarabangsa adalah hak mutlak sesebuah negara yang berdaulat.

Sehingga hari ini, kerajaan Amerika Syarikat tidak berhasrat untuk menandatangani dan meratifikasikan Konvensyen PBB Mengenai Undang-undang Laut 1982 (LOSC) walaupun Amerika Syarikat adalah negara maritim terbesar di dunia.

Kegagalan Amerika Syarikat untuk meratifikasi LOSC tidak bermakna negara tersebut tidak boleh melibatkan diri di dalam isu governan lautan di peringkat antarabangsa.

Di dalam laporan oleh Al-Jazeera pada November 2014 berjudul ‘Malaysia’s Unwanted’, Malaysia telah dikritik akibat kegagalan negara dalam melindungi pelarian yang akhirnya menyebabkan golongan ini diekspoitasikan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

Sebagai sebuah negara membangun, Malaysia telah berusaha sehabis baik bagi menampung migran-migran ini – sekiranya ekonomi Malaysia tidak memuaskan, pelarian-pelarian ini tidak akan bersabung nyawa untuk datang ke negara ini.

Puluhan warga Rohingya dikhuatiri mati lemas

Negara-negara maju seperti United Kingdom dan Kesatuan Eropah (EU) mengalami kesukaran dalam menyelesaikan kemelut pelarian Syria dan Afrika Utara yang cuba untuk memasuki Eropah.

Beberapa akhbar atas talian di Malaysia juga menghentam kerajaan kerana tidak memberikan perhatian yang sama kepada nasib Orang Asli sepertimana perhatian yang diberikan kepada masyarakat Rohingya.

Tidak seperti nasib orang-orang Rohingya, masalah Orang Asli adalah isu yang berlainan kerana ianya tidak melibatkan keganasan ketenteraan dan pembunuhan secara beramai-ramai.

Australia telah memperlakukan kaum pribumi mereka dengan layanan buruk bertahun lamanya.

Namun, ini tidak bermaksud Australia tidak berhak untuk membantu pelarian-pelarian yang memerlukan bantuan mereka.

Australia memiliki rekod yang baik dalam memberikan perlindungan kepada pelarian, seperti yang dilaporkan di dalam artikel ‘How well are refugees settling into Australia’ oleh Sydney Morning Herald pada Januari 2016.

Memang benar masalah Orang Asli di Malaysia patut diberikan perhatian.

Namun, ini tidak bermakna Malaysia tidak berhak untuk membantu pelarian-pelarian Rohingya yang memohon pertolongan daripada negara ini. 


Kesimpulan

Foto: AWANI/SHAHIR OMAR


Malaysia adalah sebuah negara yang menghormati prinsip berkecuali yang didokong ASEAN.

Namun, isu Rohingya bukanlah lagi isu domestik atau isu dalaman Myanmar kerana keganasan yang berlaku di Rakhine telah menyebabkan banyak pelarian dari negara terebut menjengah persisiran negara-negara jiran bagi memohon bantuan kemanusiaan.

Walaupun Myanmar telah secara berterusan menafikan berlakunya keganasan, kerajaan Naypyidaw harus sedar bahawa dunia sedang memerhatikan mereka.

Layanan buruk secara berterusan yang diberikan kepada kaum Rohingya tidak akan membawa apa-apa manfaat keapada rantau ini.

Kerajaan pusat di Putrajaya telah dikritik oleh banyak pihak tahun lalu kerana lambat memberikan bantuan kepada orang-orang Rohingya yang tersadai di tengah laut.


Imej satelit rakam kemusnahan di Rakhine

Akan tetapi, apabila Perdana Menteri memberikan sokongan kepada kaum Rohingya sewaktu perhimpunan 4 Disember 2016 yang lalu, pihak kerajaan juga telah mendapat tentangan daripada sesetengah masyarakat di Malaysia.

Sama ada untuk menghulurkan bantuan atau tidak, rakyat Malaysia perlu bertanya pada diri mereka sendiri apakah yang benar-benar mereka inginkan.

Malaysia dan negara-negara ASEAN yang lain seharusnya berusaha bagi memujuk Myanmar dalam mengakhiri konflik berterusan ini.

Kaum Rohingya juga adalah manusia seperti kita semua dan sepatutnya dilayan sebagai manusia selayaknya.

Ini bukan lagi soal kaum, warna kulit atau agama – ini sekarang adalah soal kemanusiaan.


Dr. Mohd Hazmi Mohd Rusli ialah seorang pensyarah kanan di Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia dan profesor pelawat di Sekolah Undang-undang, Far Eastern Federal University, Vladivostok, Rusia.