Dua daripada 11 rakyat Malaysia yang ditahan daripada meninggalkan Korea Utara dilaporkan sudah dibenarkan meninggalkan negara berkenaan.

Menurut laman Twitter Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, dua rakyat Malaysia itu adalah Stella Lim dan Nyanaprakash Muniandy.

Mereka berdua kini dilaporkan berada di Beijing.


Sebelum ini, laporan agensi berita antarabangsa Reuters yang memetik sumber kerajaan berkata, mereka merupakan dua kakitangan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang bertugas di bawah Program Makanan Sedunia (WFP).

Pada Rabu, Datuk Seri Najib memberitahu, Malaysia masih belum memutuskan hubungan dengan Korea Utara bagi membolehkan usaha rundingan dibuat dengan Pyongyang susulan larangan keluar rakyat Malaysia di negara berkenaan.

BACA: Kuala Lumpur teliti apa kehendak sebenar Pyongyang - PM

BACA:
TPM yakin Korea Utara akan bertindak rasional

Jelas beliau, Kuala Lumpur juga sedang meneliti apa kehendak sebenar Pyongyang.

Sebelum ini Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, Wisma Putra memberi jaminan bahawa usaha membawa pulang 11 rakyat Malaysia yang dihalang meninggalkan Korea Utara diberi keutamaan tertinggi oleh kerajaan.

Tegasnya, pihaknya sedang giat berusaha memastikan kesemua mereka dapat pulang ke tanah air dengan selamat.