Pihak Berkuasa Singapura menahan dua rakyat Malaysia di Pusat Pemeriksaan Woodlands di sini kerana dipercayai cuba menyeludup dadah bernilai RM246,000 pada Selasa.

Dadah jenis metamfetamin seberat 360 gram serta 3,259 pil erimin-5 dan pil ekstasi itu ditemui di bawah tempat duduk sebuah motosikal dengan nombor pendaftaran Malaysia.

Penahanan mereka dibuat Pihak Berkuasa Imigresen dan Pemeriksaan (ICA) Singapura kira-kira jam 7 pagi ketika pemeriksaan dijalankan ke atas mereka.

ICA dalam satu kenyataan berkata, penunggang dan pembonceng motosikal berkenaan yang berusia 24 tahun kemudian diserahkan kepada Biro Narkotik Pusat (CNB) Singapura.

Siasatan kes berkenaan masih dijalankan.

Mengikut Akta Penyalahgunaan Dadah Singapura, memiliki dadah melebihi 250 gram membawa kepada hukuman mati.