Dua remaja Palestin berusia 16 tahun terbunuh dalam pertempuran dengan tentera Israel dalam dua insiden berasingan di Tebing Barat dan Gaza pada Khamis.

Pegawai kesihatan Palestin mengesahkan mangsa pertama Amir Abu Musaed terkorban kerana ditembak di bahagian dada dalam pertempuran di Gaza.

Manakala mangsa kedua Ali Omar terkorban setelah ditembak di bahagian kepala dalam pertempuran berhampiran bandar Nablus di Tebing Barat.

Tentera Israel berkata berlaku rusuhan ganas sepanjang sempadan dan pihaknya melepaskan tembakan ke atas tiga penunjuk perasaan yang dikhuatiri mendatangkan ancaman kepada anggotanya.

Pertempuran di Palestin masih berterusan sehingga ke hari ini berikutan pengiktirafan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Disember tahun lalu.