Program Ihya Ramadan WeMalaysia di The University of Queensland (UQ) Australia membawa keenakan bubur lambuk negara untuk dinikmati pelajar Malaysia di universiti berkenaan.

Pengerusi WeMalaysia Australia Muhammad Ali Halim Sirat berkata, ia merupakan inisiatif WeMalaysia Australia cawangan Queensland menghidupkan semangat menyambut Ramadan dalam kalangan pelajar Malaysia di luar negara.

"Program ini dijalankan secara ringkas dengan pengagihan bubur lambuk kepada pelajar dan sumbangan kepada anak yatim yang terdiri daripada pelajar ijazah sarjana muda.

"Majlis sederhana ini memberi peluang kepada pelajar dan diaspora berinteraksi dan berkongsi pengalaman hidup menyambut ramadan di luar negara sambil menikmati bubur lambuk.

"Sesuatu yang menarik adalah pengagihan bubur lambuk juga diberikan kepada pelajar bukan muslim sekali gus sebahagian usaha WeMalaysia memupuk perpaduan pelajar Malaysia berbilang kaum di perantauan," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.

BACA: Pelajar ejen promosi budaya Malaysia di luar negara - Fiona Kee

BACA: Perpaduan kaum di Malaysia jadi aspirasi masyarakat luar negara - WeMalaysia Australia

Selain itu jelasnya, menghayati erti Ramadan di perantauan apabila berjauhan daripada keluarga mengajar betapa perlunya kekuatan jasmani dan emosi pelajar.

"Kami menyambut Ramadan sambil berdepan dengan tugasan dan peperiksaan, namun berkat amalan di bulan yang mulia mampu menjadikan kita lebih cekal dan positif," ujarnya.

Dalam majlis yang sama, penyedia bubur lambuk, Ali Shahbana Saroni menyatakan rasa kesyukuran diberi peluang dapat bersama pelajar Malaysia meraikan Ramadan di perantauan.

"Tradisi masyarakat kita tidak pernah luntur, walau jauh beribu batu, kita masih mengekalkan warisan turu temurun dengan juadah berbuka puasa bubur lambuk.

"Kelazimannya, bubur lambuk di Malaysia disediakan di masjid atau surau, tapi di Brisbane disediakan dari rumah dan diedarkan kepada semua di sini tanpa mengira bangsa dan agama," katanya.

Ali yang menjalankan perniagaan penyediaan makanan mempunyai pengalaman lebih 12 tahun menjalani kehidupan perantauan di bumi Queensland.

"Paling utama adalah semangat meraikan Ramadan dengan kesyukuran walau jauh daripada keluarga, namun ingatan apa yang kita semai dan pelajari dari kecil sentiasa menjadi ingatan dan ajaran yang berguna lebih lebih menyambut bulan yang mulia ini," jelasnya.

Dalam pada itu, tetamu bukan Muslim, John Chai juga melahirkan rasa gembira berpeluang menikmati bubur lambuk bersama pelajar dan selain mengakui program itu berjaya menyatukan diaspora dan pelajar.

Anak kelahiran Ipoh yang telah mendiami bumi Queensland sejak 1973 itu merasakan suasana sebegitu mengimbas kenangan ketika di tanah air.

John yang menjalankan perniagaan St Lucia Supermarket dan lain-lain perniagaan merasakan majlis itu berjaya menerap rasa muhibah, hormat menghormati dan toleransi seterusnya mengeratkan persaudaraan antara satu sama lain tanpa mengira agama dan bangsa.

Majlis itu turut diserikan dengan pemberian sumbangan beli baju raya kepada kanak-kanak yang menetap bersama keluarga di perantauan yang bersama memeriahkan majlis tersebut.

Sementara itu, pelajar-pelajar Malaysia di United Kingdom menyambut Ramadan tahun ini dengan tempoh berpuasa yang lebih lama berbanding di Malaysia.

Dalam satu kenyataan WeMalaysia UK, mereka menyatakan tempoh berpuasa adalah sekitar 18 sehingga 19 jam memandangkan Ramadan tahun ini jatuh pada musim panas yang baru sahaja bermula.

"Tempoh siang yang lebih panjang dengan suhu sekitar 20 sehingga 33 darjah celsius dilihat agak mencabar terutamanya bagi pelajar yang pertama kali berpuasa di UK.

"Waktu bersahur adalah lebih awal sekitar jam 2 - 2.30 pagi manakala waktu berbuka sekitar jam 9.25 malam di England dan 10.15 malam di Scotland menyebabkan kebanyakan pelajar Malaysia memilih untuk tidak tidur selepas isyak dan terawih kerana khuatir tidak sedar untuk bangun sahur.

"Selain daripada tempoh berpuasa di musim panas yang lebih panjang, pelajar-pelajar Malaysia juga diuji dengan kejadian serangan pengganas dan kumpulan ekstremis di London Bridge, Borough Market dan Finsbury Park yang boleh menyumbang kepada peningkatan kes-kes Islamophobia," jelas kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, sehingga kini pelajar-pelajar Malaysia masih tidak diganggu dengan sentimen Islamophobia termasuklah mereka yang bertudung.

"Namun, langkah berjaga-jaga tetap diambil termasuklah mengelak daripada berjalan seorang diri pada waktu malam dan sebagainya.

"Walaupun pelbagai cabaran yang dihadapi sepanjang berpuasa, secara keseluruhannya pelajar-pelajar Malaysia di UK menyambut Ramadan dengan penuh rasa syukur dan sabar," jelas kenyataan itu.

WeMalaysia merupakan sebuah gerakan terbuka yang digerakkan pelajar Malaysia di luar negara.

Sehingga kini, WeMalaysia mempunyai cawangan di Amerika Syarikat (AS), Australia dan United Kingdom (UK).