Promosi kebudayaan Malaysia di mata dunia menjadi platform untuk membuktikan negara sebagai contoh kesepakatan kaum dan keamanan hidup atas semangat toleransi.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Malam Kebudayaan Malaysia Kansas Fiona Kee berkata, persembahan itu juga sedikit sebanyak dapat mengubat kerinduan untuk bersama keluarga dan rakan-rakan di Malaysia.

"Selain persembahan kebudayaan yang menarik, hidangan nasi lemak dan makanan Malaysia yang menyelerakan turut disediakan.

"Antara persembahan yang dipertontonkan termasuklah tarian singa, tarian tudung saji, silat dan nyanyian lagu-lagu tempatan," katanya kepada Astro AWANI di sini.

BACA: Perpaduan kaum di Malaysia jadi aspirasi masyarakat luar negara - WeMalaysia Australia

BACA:
Permainan tradisional satukan pelajar Malaysia di luar negara

Fiona yang juga President of the Council of Malaysian Midwest Students berkata, penganjuran Malam Kebudayaan Malaysia Kansas pada 22 April lepas oleh pelajar-pelajar Malaysia dari Wichita State University (WSU), Kansas State University dan University of Kansas Rhatigan di Student Center, WSU turut menjadi tarikan kepada pelajar antarabangsa di sana.

Jelasnya program yang julung kali diadakan itu mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dengan kehadiran mencecah 220 orang yang kebanyakannya adalah pelajar-pelajar Malaysia.

"Selain itu, ia turut menarik minat pelajar-pelajar dari negara lain seperti Indonesia, Vietnam dan tempatan.

"Majlis itu dianjurkan atas semangat 1Malaysia yang melibatkan pelajar-pelajar Malaysia dari ketiga-tiga buah universiti untuk mempromosi keunikan budaya dan tradisi rakyat Malaysia yang berbilang kaum di Amerika Syarikat (AS)," ujarnya.

Katanya, jawatanjuasa penganjur program juga merakamkan jutaan terima kasih dan penghargaan kepada Duta Besar Malaysia ke AS, Tan Sri Zulhasnan Rafique atas kehadiran dan sokongan beliau termasuk menyampaikan sumbangan wang tunai dari Yayasan Amal Wangsa kepada penganjur.

"Ia termasuk pengurusan Wichita State University; pejabat MIDA Chicago dan Education Malaysia Chicago turut memberi bantuan dari segi sumbangan dan tajaan.

"Jawatankuasa penganjur juga turut merakamkan jutaan terima kasih kepada Kedutaan Malaysia Washington DC, pejabat MARA Washington DC dan WeMalaysia USA di atas sokongan yang tidak berbelah bahagi di dalam menjayakan program ini," jelasnya.

WeMalaysia merupakan sebuah gerakan terbuka yang digerakkan pelajar Malaysia di luar negara.

Sehingga kini, WeMalaysia mempunyai cawangan di Amerika Syarikat (AS), Australia dan United Kingdom (UK).