Pihak berkuasa Indonesia pada Ahad menahan 17 orang di lapangan terbangnya sejurus mereka kembali dari Syria, kerana disyaki terlibat dalam aktiviti radikal, lapor Reuters.

Jurucakap pejabat imigresen Agung Sampurno berkata, kumpulan itu yang termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun dan kanak-kanak lelaki berusia 3 tahun, ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta sejurus mereka keluar dari pesawat Turkish Airlines dari Istanbul.

Mereka telah dirujuk kepada unit anti keganasan Polis Republik Indonesia, Densus 88, untuk disoal siasat, kata Agung.

“Mereka masih dalam proses soal siasat. Jika kami menemui sebarang kaitan dengan jenayah keganasan, kami akan meneruskan siasatan.

“Jika tidak, mereka akan dihantar pulang ke keluarga masing-masing,” ujar Ketua Densus 88, Eddy Hartono kepada Reuters.

Pihak polis Indonesia selama ini memantau puluhan warganegaranya yang berkemungkinan ada kaitan dengan rangkaian generasi baharu radikal, lebih-lebih lagi jika mereka memiliki kemahiran dan kelengkapan untuk melancarkan serangan di tanah air.

Polis republik itu telah membunuh 33 orang dan menahan sejumlah 170 orang pada tahun 2016 atas percubaan untuk melancarkan serangan.

Sepucuk pistol dan serangan bom di tengah-tengah bandar raya Jakarta pada Januari 2016 telah mengorbankan empat nyawa dan insiden itu merupakan yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara yanhg diakui dilakukan Daish.