SEORANG remaja menggunakan ciri penstriman langsung Instagram untuk merakam detik kemalangan yang menyebabkan kematian adiknya berusia 14 tahun.

Memetik laporan The Daily Mail, Obdulia Sanchez dipercayai memandu di bawah pengaruh alkohol dalam insiden yang berlaku di Los Banos, California, Amerika Syarikat.

Adiknya Jacqueline Sanchez dan seorang rakan duduk di kerusi belakang kenderaan ketika insiden berlaku.

Video menunjukkan detik-detik sebelum kemalangan sehingga kereta mereka terbabas dan adiknya tercampak keluar.

Beberapa saat kemudian, Obdulia menuju ke arah adiknya yang berlumuran darah dan menolak-nolak kepala serta badannya yang sudah tidak bermaya.

“Saya telah bunuh adik saya, saya tidak kisah. Saya sudah bunuh adik saya!

“Saya akan ke penjara tetapi saya tidak kisah. Saya minta maaf,” kata Obdulia dalam video berkenaan.

Ia berakhir dengan Obdulia menjerit-menjerit dan berkata, “Saya tiada niat untuk bunuh awak (Jacqueline).”

Pihak polis tempatan mengesahkan kejadian berlaku pada Jumaat.

Mereka berkata Jacqueline dan seorang lagi rakan tidak memakai tali keledar belakang ketika kemalangan berlaku.

Obdulia kini ditahan di penjara Merced County.

Ahli keluarga turut memberikan pengesahan bahawa video berkenaan dirakam oleh Obdulia.