Tutup

Kegusaran Barat dan Yahudi pro-Zionis terhadap suara Tun Dr Mahathir

Kegusaran Barat dan Yahudi pro-Zionis terhadap suara Tun Dr Mahathir
Konsistensi Tun Dr. Mahathir Mohamad semenjak sekian lama menjadikan dendam pihak Yahudi yang menyokong rejim Zionis membara - Foto Bernama
KEBERANGKATAN Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk menyampaikan syarahan dalam forum anjuran Kesatuan Universiti Cambridge mendapat perhatian dan bantahan yang cukup kuat oleh komuniti Yahudi di London baru-baru ini.

Tidak menghairankan apabilan bantahan tersebut dilakukan oleh komuniti Yahudi tersebut kerana sekian lama Tun Dr. Mahathir adalah seorang pemimpin Islam yang begitu lantang dan konsisten mengkritik tindakan-tindakan tidak berperikemanusiaan rejim Zionis terhadap masyarakat Islam di Palestin dan dasar-dasar tidak demokratik Barat apabila berhadapan dengan isu yang melibatkan masyarakat Islam.
Konsistensi Tun Dr. Mahathir Mohamad semenjak sekian lama menjadikan ‘dendam’ pihak Yahudi yang menyokong rejim Zionis membara kerana mereka amat pasti syarahan yang disampaikan oleh Tun Dr. Mahathir berkisar kepada kekejaman rejim Zionis terhadap penduduk Palestin sekali gus mengkritik demokrasi yang dilaung-laungkan oleh mereka sebagai sebuah sistem yang cukup baik.

Apabila Tun Mahathir diundang untuk menyampaikan syarahan di Cambridge Union baru-baru ini, seperti ada pihak yang 'tidak berpuas hati'.
Persoalannya demokrasi bagaimana yang dianuti oleh mereka sedangkan makna demokrasi itu sendiri secara umumnya bermaksud setiap insan mempunyai hak yang sama namun seperti mana yang terjadi di Palestin, rejim haram Zionis telah menafikan hak rakyat Palestin terhadap tanah milik mereka sendiri dengan merampas dan mewujudkan sebuah negara haram hasil Perjanjian Balfour pada tahun 1947.

Syarahan yang disampaikan oleh Tun Dr. Mahathir bertajuk Demokrasi di Malaysia dan Asia Tenggara secara keseluruhannya dilihat memfokuskan kepada makna demokrasi itu sendiri.

Bagi Barat, sesebuah negara yang mengamalkan demokrasi adalah negara yang menerima pengaruh dan nilai Barat sebagai ideologi dan pegangan negara tersebut sedangkan citra demokrasi itu sendiri amat luas, yang mana ia tertakluk kepada demografi serta sosiologi masyarakat sesebuah negara itu sendiri.

Sudah pasti demokrasi yang diamalkan oleh Malaysia jauh berbeza dengan negara-negara di Barat kerana Islam adalah asas kepada pembentukan negara Malaysia sedangkan Barat tidak menjadikan asas Islam sebagai ideologi negara mereka.

Demokrasi juga merujuk kepada kebebasan dalam berfikir dan membuat tindakan.

Sebagai sebuah negara yang berpegang kepada prinsip Islam, Malaysia juga bebas menolak nilai dan desakan Barat.

Menurut Tun Dr. Mahathir, Malaysia mempunyai budaya sendiri dan tidak boleh menerima sesuatu yang bertentangan dengan adat resam dan agama.

Selain itu, Barat sentiasa bercakap mengenai kebebasan, yang bermakna Malaysia juga bebas menolak amalan hidup yang tidak sesuai dengan negara ini, termasuk nilai-nilai Barat itu sendiri.

Barat hanya mendiamkan diri apabila Palestin ditindas oleh rejim Zionis. - Gambar fail

Beliau menambah, salah satu manifestasi kebebasan yang seiring dengan Barat adalah kebebasan hak untuk menerima apa yang dilakukan di Barat dan itu tidak betul dan tidak boleh sama sekali diterima.

Walau bagaimanapun, menurut kaca mata penulis apabila melibatkan hak dan kebebasan masyarakat Islam yang ditindas di beberapa buah negara, Barat hanya mendiamkan diri dan tidak pula bersuara menentang penindasan tersebut kerana ia dilakukan sendiri oleh sekutu rapat mereka seperti rejim Zionis terhadap masyarakat Islam di Palestin.

Selain itu, penindasan yang dilakukan oleh kerajaan Myanmar terhadap etnik minoriti Rohingya juga tidak mendapat perhatian yang sewajarnya sekalipun penindasan tersebut tidak boleh diterima oleh akal dan budi masyarakat yang bertamadun.

Kebungkaman suara Barat terhadap penindasan kerajaan Myanmar terhadap etnik minoriti di Myanmar ini adalah berkait rapat dengan kepentingan strategik dan ekonomi Barat khususnya Amerika Syarikat di Myanmar itu sendiri kerana kedudukan Myanmar di tengah-tengah laluan perdagangan antarabangsa dan memiliki nilai strategik terhadap mereka.

Sudah pasti, jika pihak Barat begitu agresif mengkritik terhadap penindasan yang dilakukan oleh Myanmar terhadap etnik minoriti Rohingya, kepentingan mereka akan disaingi oleh China sebagai pesaing rapat kuasa Barat di rantau Asia Pasifik.

Selain itu, pembelaan terhadap masyarakat etnik minoriti Rohingya juga tidak memberi sebarang keuntungan kepada mereka. 

Kesengsaraan nasib etnik Rohingya di Myanmar adalah contoh hal kemanusiaan yang terlepas dari perhatian dunia Barat. - Gambar fail

Demokrasi yang sebenarnya adalah bersifat utopia, kerana bukan mudah untuk menterjemahkan idealisme kepada sosok figura yang bersifat realistik.

Manusia yang mencipta undang-undang acapkali melanggar undang-undang itu sendiri, begitu juga dengan demokrasi, manusia yang menggariskan idea demokrasi namun secara praktikalnya demokrasi itu tidak wujud apabila bertentangan dengan kehendak dan kepentingan manusia itu sendiri.

Oleh itu, bukan sesuatu yang ganjil apabila Barat sendiri tidak demokratik apabila sesuatu isu itu tidak membawa sebarang kepentingan atau menggugat kepentingan mereka seperti mana yang sekian lama ditonjolkan terhadap dunia Islam.

Justeru, kehadiran Tun Dr. Mahathir di pentas forum Kesatuan Cambridge baru-baru ini seperti mana kehadiran beliau di pentas forum Kesatuan Oxford pada Januari yang lalu tidak banyak berbeza.

Beliau masih lagi mengekalkan konsistensi beliau dalam mengkritik ketidakpedulian Barat berhubung penindasan serta ketidakadilan dunia yang majoritinya dilakukan oleh dunia Barat itu sendiri.

Ironinya, pengkritik tegar dunia Barat itu mengkritik Barat di bumi Barat sendiri!

Maka sudah pasti para penyokong rejim Zionis tidak akan betah duduk dengan tenteram kerana beranggapan bahawa maruah mereka dicabar oleh seorang ketua kerajaan yang datang dari sebuah negara Islam yang berstatus negara dunia ketiga.

Suara Tun Dr. Mahathir di pentas antarabangsa bukan sahaja mewakili Malaysia malahan mewakili dunia Islam secara umumnya setelah dunia Islam semakin kehilangan pemimpin yang berwibawa dan lantang membela kepentingan umat Islam.

Oleh kerana itu tidak hairan masih ramai masyarakat di negara-negara Islam yang begitu menyanjungi beliau di atas kelantangan dan keberaniannya terhadap Barat khususnya Amerika Syarikat dan sekutunya.

Syarahan Tun Dr. Mahathir Mohamad di dalam forum Kesatuan Cambridge baru-baru ini dan forum anjuran kesatuan Oxford pada januari yang lalu telah memberikan impak yang amat besar selain menimbulkan kesedaran kepada masyarakat antarabangsa bahawa demokrasi itu adalah sebuah bentuk pemikiran yang hanya akan direalisasikan melalui tindakan, bukan sekadar terukir indah di atas sekeping kertas.



* Hisyam Basabah merupakan penulis bebas dan calon Ijazah Doktor Falsafah Pengajian Etnik,
Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia.

** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.


Tag: Mahathir Mohamad, Zionis, Rohingya, Cambridge Union



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.