MISTERI kematian seorang wanita, Elizabeth Short atau The Black Dahlia yang sensasi diperkatakan dalam kejadian pada tahun 1947 di Los Angeles, Amerika Syarikat masih belum terjawab sehingga hari ini.

Mayat wanita berusia 22 tahun itu ditemui dalam keadaan separa bogel oleh orang awam yang kebetulan lalu di Leimert Park.

Lebih tragis lagi apabila tubuh wanita yang mesra dengan panggilan Beth dalam kalangan rakan-rakannya dipotong kepada dua bahagian pada paras pinggang.

Tangan Beth diletakkan di atas dahi sementara kakinya terbuka luas, tiada setiitis darah yang tinggal dalam tubuh wanita itu.

Ususnya dirobek keluar lalu diletakkan di bahagian bawah punggung manakala wajah Beth dikelar dari bahagian mulut hingga ke telinga menampakkan seolah-olah mangsa sedang tersenyum jahat.

Bahagian peha Beth yang mempunyai tatu berupa sekuntum bunga ros dilapah lalu disumbat ke dalam kemaluannya.

Penemuan mayat Beth menjadi berita sensasi dan wartawan pada ketika itu sehingga sanggup melakukan apa sahaja untuk mengorek rahsia siapa Black Dahlia.

Pembunuhan tragis Black Dahlia menghiasi muka depan dada akhbar pada ketika itu dan kebanyakan cerita ditokok tambah untuk menjadikannya lebih sensasi.

Antaranya, Black Dahlia digambarkan sebagai seorang wanita cantik yang menggoda malah terdapat akhbar yang melabelnya sebagai pelacur sekali gus menjadikannya sasaran pembunuh.

Ekoran pembunuhan kejam yang menimpa Black Dahlia, Jabatan Polis Los Angeles pada waktu itu telah menjalankan siasatan intensif dan lebih 150 suspek di kenal pasti namun tiada sebarang tangkapan dibuat.

Sementara itu, terdapat juga laporan mengatakan sekurang-kurangnya 60 orang lelaki mengaku membunuh wanita cantik itu.

70 tahun telah berlalu namun identiti pembunuh Black Dahlia yang disifatkan antara yang paling kejam dalam sejarah negara Uncle Sam itu masih gagal dirungkai.

Pembunuhan Black Dahlia boleh disamakan dengan kes Cleveland Torso Murders pada sekitar tahun 1934 dan 1938 yang menyaksikan 12 mangsa dibunuh kejam dan mayat mereka dipenggal namun pembunuhnya masih kekal misteri.

Impian Black Dahlia untuk menjadi bintang terkenal tidak kesampaian namun pengakhiran hidupnya yang tragis membuatkan wanita itu dikenali ramai dan rahsia tentang siapa pembunuh sebenarnya akan terus terkubur bersama waktu.