Ketegangan politik antara Qatar dan rakan negara Teluk mungkin akan menyebabkan negara-negara itu kehilangan jutaan dolar akibat industri perdagangan dan pelaburan yang menjadi perlahan dan menyukarkan rantau itu membuat pinjaman dana kerana bergelut dengan harga minyak yang rendah.

Dengan anggaran AS$335 bilion sebagai aset, Qatar dilihat berupaya mengelak krisis ekonomi akibat keputusan yang dibuat Arab Saudi, Mesir, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain yang menyekat semua hubungan termasuk udara, pautan laut dan pengangkutan darat.

Kemudahan pelabuhan baharu yang diwujudkan negara kecil itu membolehkannya meneruskan eksport gas asli cecair yang dijangka membawa lebihan dagangan bernilai AS$2.7 bilion pada April, selain import hasil laut.

Tetapi ekonomi Qatar boleh terjejas teruk jika pertikaian itu berlarutan selama berbulan-bulan, satu prospek yang menyebabkan pasaran saham Qatar jatuh lebih daripada 7 peratus pada Isnin.

Syarikat penerbangan Qatar Airways juga akan menanggung kerugian akibat disekat daripada memasuki hub penerbangan terbesar di Asia Barat.

Kerana semua negara ini bergantung kepada eksport minyak dan gas, negara-negara anggota dalam Majlis Kerjasama Negara Teluk (GCC) hanya mempunyai perdagangan dan pelaburan yang lemah untuk mengikat mereka, yang akan mengehadkan kejatuhan ekonomi ekoran pertikaian mereka. UAE merupakan rakan kongsi perdagangan terbesar Qatar dari GCC tetapi ia hanya yang kelima terbesar secara global.

Arab Saudi dan negara-negara GCC lain secara tradisional memiliki hanya lebih kurang 5 hingga 10 peratus dagangan dalam pasaran saham Qatar, berdasarkan data pertukaran, memberi bayangan pasaran mereka tidak akan jatuh.

Walau bagaimanapun, Qatar akan menanggung kos yang lebih tinggi dalam beberapa lapangan. Arab Saudi dan UAE menyumbangkan AS$309 juta daripada AS$1.05 bilion import makanan Qatar pada 2015. Kebanyakannya, terutamanya produk tenusu, datang dari sempadan darat Saudi, dan Doha perlu mencari jalan lain untuk mengatasi isu ini.

Lima negara, Arab Saudi, Mesir, UAE, Yaman dan Bahrain, pada Isnin bertindak memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar.

Langkah drastik itu diambil selepas pertelingkahan berhubung sokongan Qatar ke atas kumpulan Muslim Brotherhood, kumpulan Islam tertua di dunia dan menuduh Doha menyokong agenda musuh ketat mereka, Iran.