Pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong Un berikrar untuk menjadikan negara itu beransur-ansur bebas senjata nuklear dan merancang untuk mengadakan pertemuan dengan wakil Amerika Syarikat.

Kenyataan tersebut dikeluarkan selepas pertemuan dengan Presiden China Xi Jinping dalam lawatan tidak rasminya selama empat hari ke negara Tembok Besar itu.

Kementerian Luar China dalam satu kenyataan memaklumkan keadaan di semenanjung Korea semakin baik berikutan inisiatif Pyongyang mengurangkan ketegangan dan kesediaan mengadakan rundingan.

“Ia pendirian konsisten kami untuk menghapuskan program nuklear di semenanjung, sejajar dengan kehendak bekas presiden Kim ll Sung dan mendiang Setiausaha Agong Kim Jong ll,” kata kementerian itu dengan memetik kenyataan Kim Jong Un.

Bagaimanapun media rasmi Korea Utara tidak menyebut perkara tersebut ataupun pertemuan dengan Presiden AS Donald Trump yang dijadual Mei ini.

Ia merupakan perjalanan pertama pemimpin Korea Utara itu ke luar negara yang diketahui umum sejak mengambil alih kuasa pada akhir tahun 2011.

BACA: Kim Jong Un sah bertemu Presiden China di Beijing

BACA: Rundingan perlu ke arah hentikan program nuklear Pyongyang - Shinzo Abe

Penganalisis bagaimanapun melihat nada kenyataan Kim Jong Un yang mengikut jejak langkah bapanya sebagai tidak meyakinkan.

Pendahulu Kim Jong Un, Kim Il Sung dan bapa Kim Jong Il, kedua-dua berjanji tidak meneruskan pembangunan program senjata nuklear tetapi secara rahsia mempertahankan program membangunkan mereka dengan ujian nuklear pertama diadakan pada 2006 dibawah kepimpinan Kim Jong ll.

Sementara itu jurucakap White House Sarah Sanders berkata, pertemuan China-Korea Utara dan keputusan Kim untuk ke luar negara merupakan petunjuk positif tekanan antarbangsa mula menunjukkan kesan.

“Kami optimistik dan berhati-hati dalam masa yang sama,” katanya.