Kementerian Kesihatan Singapura sahkan tiga lagi kes positif novel koronavirus di negara itu menjadikan keseluruhan jumlah kes sebanyak 16 kes.

Ketiga-tiga kes baharu yang dilaporkan itu berpunca apabila mangsa sebelum ini melancong ke Wuhan, China.

Menurut portal Channel News Asia, kes ke-14 yang direkodkan antaranya ialah seorang lelaki warganegara China berusia 31 tahun yang mempunyai pas pekerja di Singapura.

Dia tiba di Singapura dari Wuhan pada 26 Januari lalu tetapi tidak mengalami sebarang simptom sehinggalah 28 Januari lalu.

Lelaki berkenaan disahkan positif novel koronavirus pada Khamis kira-kira jam 11 malam selepas mendapatkan rawatan Pusat Kebangsaan Penyakit Berjangkit (NCID).

Sementara itu, kes ke-15 adalah wanita warga tempatan berusia 47 tahun yang sebelum ini melancong ke Wuhan bersama keluarganya.

[LAPOR LANGSUNG] Kecemasan peringkat antarabangsa


Dia juga sebelum ini tidak menunjukkan sebarang simptom semasa dalam perjalanan pulang ke Singapura tetapi hanya mengalami demam panas semasa pemeriksaan suhu badan di Lapangan Terbang Changi.

BACA: Singapura catat tiga lagi kes positif koronavirus

Wanita itu disahkan positif novel koronavirus pada Jumaat.

Dalam pada itu, kes ke-16 pula adalah seorang lelaki warganegara China berusia 38 tahun yang tiba di Singapura dari Wuhan pada 22 Januari lalu.

Ketiga-tiga pesakit kini dalam keadaan stabil dan dikuarantin di hospital.

Singapura mencatatkan kes pertama novel koronavirus pada 23 Januari lalu.

BACA: Fokus saringan koronavirus di sempadan darat terhad kepada warga China