Seorang murid sekolah ditahan atas tuduhan mencuri alat pengesan gempa bumi milik Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) Indonesia.

Dalam kejadian yang dilapor berlaku di Palu, Sulawesi tengah itu, remaja berusia 14 tahun yang dikenali sebagai AP didakwa menjual alat berkenaan di Facebook pada harga hanya Rp480,000 (kira-kira RM140).

Turut ditahan, rakan subahatnya yang hanya dikenali sebagai Sofyan, 43.

“Dua lagi suspek masih bebas, mereka juga pelajar,” kata Ketua Polis, Sigi Wawan Sumantri pada Isnin yang memaklumkan bahawa alat pengesan gempa itu bernilai Rp700 juta (kira-kira RM206,000).

Polis berjaya menjejaki kegiatan sindiket itu selepas ternampak posting di grup Facebook di mana suspek dilaporkan menjual alat bertkenaan pada harga yang amat murah.

Kedua-dua suspek mendakwa tidak mengetahui kegunaan alat itu untuk mengesan gempa bumi.

Alat pengesan itu merupakan satu daripada empat yang dipasang di kawasan itu bertujuan menyalurkan maklumat tentang aktiviti gempa di Pulau Koro.

Ketua BMKG, Palu Cahyo Nugroho dilapor berkata jika satu daripada alat pengesan itu hilang, maklumat yang diperoleh mungkin tidak tepat, atau lebih dahsyat lagi tidak berfungsi.