New York pada Isnin memasuki Fasa 4 pembukaan semula ekonominya dan mula membuka sebahagian lokasi tumpuan pelancong selepas ditutup lebih tiga bulan.

Antara yang kini dibenarkan, lawatan menaiki feri ke Statue of Liberty, patung gergasi kebanggaan Amerika Syarikat yang terletak di Pulau Liberty.

Susulan itu, orang ramai mengambil peluang bersama keluarga mereka mengunjungi lokasi terkenal di New York itu.

Ketika ini, pusat membeli-belah dan muzium masih lagi ditutup dalam fasa berkenaan.

Pada masa sama, Gabenor New York Andrew Cuomo berkata, kebanyakan aktiviti luar lain juga tidak dibenarkan.

Sebelum ini, Fasa 4 pembukaan semula ekonomi menetapkan pusat beli-belah, pusat hiburan dan sukan-sukan utama sudah boleh dibuka.

Namun, semuanya ditangguhkan Cuomo selepas melihat kepada perkembangan kes COVID-19 demi mengelak penularan jika kelonggaran berkenaan dilaksanakan.

New York juga ketika ini masih tidak membenarkan operasi restoran secara 'dine-in'.