Sebuah pantai terkenal di Perancis telah mengeluarkan garis panduan khas bagi membolehkan orang ramai bercuti dan berjemur ketika negara itu masih bergelut dengan krisis pandemik COVID-19.

Pengunjung pantai di La Grande-Motte, yang terletak di selatan negara itu, dibenarkan berjemur yang menjadi aktiviti popular, namun mereka diwajibkan berada dalam zon masing-masing.

Zon atau slot individu itu dipisahkan oleh tali bagi memastikan penjarakan sosial dan setiap pengunjung boleh menempah slot selama tiga jam.

Terdapat 66 lokasi yang telah ditandakan dan kesemuanya habis ditempah dalam tempoh dua jam selepas tawaran dibuka hujung minggu lalu.

Pengunjung boleh memilih untuk berkunjung ke pantai itu antara jam 9.30 pagi sehingga 12.30 tengah hari atau 2 petang hingga 5.30 petang.

Tiada haiwan dibenarkan berada di kawasan pantai dan kontak sesama pengunjung juga dilarang bagi membendung penularan COVID-19.

La Grande Motte merupakan salah satu zon hijau di Perancis.

Pegawai pantai memaklumkan sistem berkenaan masih dalam tempoh percubaan dan akan dilaksanakan sehingga 2 Jun, sebelum dikaji semula untuk melihat impaknya.