SEBUAH rakaman video yang mengejutkan ramai telah tular di Amerika Syarikat dan Kanada selepas seorang pekerja sebuah restoran makanan segera dilihat meludah ke dalam makanan pelanggan dalam satu insiden yang disengajakan.

Seorang pelanggan, ShaeLynn Madplume melalui akaun media sosialnya mendakwa, dia singgah di kedai makanan segera Pita Pit di Missoula, Montana, bersama rakan-rakannya sekitar jam 2 pagi.

Mereka mendakwa hanya mahu membungkus makanan namun disambut oleh petugas restoran yang ‘sebenarnya tidak mahu bekerja’.

Video itu tidak menunjukkan punca atau penyebab kepada insiden berkenaan, namun rakaman didapati bermula ketika pekerja yang tidak dinamakan itu bertanya sesuatu kepada pelanggan tersebut dalam nada tidak puas hati.

“Anda nak saya buatkah?” tanya pekerja tersebut.

Pelanggan wanita tu pula menumbuk kaunter sambil mencabarnya: “Buatlah, aku cabar kau!”

Pekerja wanita itu kemudiannya selamba membuka bungksan makanan tersebut dengan jari, dan terus meludah ke dalamnya hingga membuatkan pelanggan dan rakan-rakannya terkejut.

Akibat terlalu marah, pelanggan tersebut memanjat kaunter tersebut dan melemparkan makanan ke pekerja wanita itu sambil mencabarnya keluar brsemuka dengannya di luar kaunter.

Apabila dicabar dan dipertikai akan perbuatannya, pekerja itu memberi alasan bahawa kedai itu sudahpun tutup ketika pelanggan itu masuk, dan dia sebenarnya mahu pulang ke rumah.

ShaeLynn kemudian memuat naik rakaman video itu ke Facebook hingga meraih ratusan ribu tontonan.

Insiden itu telah disedari oleh pemilik restoran makanan segera berkenaan yang kemudiannya mengemukakan permohonan maaf juga menerusi laman sosial Facebook.

Menurutnya, pekerja berkenaan telah dibuang dari tugas.