Tutup

Berita  | Dunia

Pelik tapi logik! Katedral Notre Dame boleh dibina semula dengan permainan video

Pelik tapi logik! Katedral Notre Dame boleh dibina semula dengan permainan video
Katedral itu menjadi tumpuan utama dalam Assassins Creed Unity yang membolehkan pemain meneroka bahagian luar dan di dalam bangunan itu. -YouTube / Assassin's Creed UK
JIKA sewaktu insiden serangan pengganas di Christchurch, New Zealand, permainan video sebagai antara elemen yang dipersalahkan kerana menyumbang kepada sebab keganasan, lain pula halnya dengan hal yang berlaku di Paris.

Portal Business Insider melaporkan usaha membina semula Katedral Notre Dame yang sebahagiannya musnah dalam kebakaran pada Isnin, boleh dibantu dengan merujuk kepada permainan video.
Menurut laporan itu, panduan reka bentuk bangunan tersebut boleh dimanfaatkan daripada permainan video ‘Assassin’s Creed Unity’ yang berlatarbelakangkan kota Paris.

Perincian dalam permainan yang diterbitkan pada tahun 2014 itu cukup terperinci apabila seorang pereka dari syarikat pengeluar Ubisoft, Caroline Miousse menghabiskan masa dua tahun merekodkan setiap ciri dan rekaan katedral berkenaan agar ia kelihatan seperti bangunan sebenar dalam permainan video itu.

“Saya ada buat banyak kerja lain dalam membangunkan permainan itu, namun 80 peratus masa saya habis untuk mengkaji Notre Dame,” ujarnya.

Ini kerana katedral itu menjadi tumpuan utama dalam ‘Assassin’s Creed Unity’, yang membolehkan pemain meneroka bahagian luar dan di dalam bangunan itu.


bagi siri permainan video Asassin's Creed. - Youtube / Assassin's Creed UK

Siri ‘Assassin’s Creed’ memang terkenal dengan perincian yang sangat mirip dengan lokasi atau fizikal sebenar sesebuah tempat atau bangunan.

Hasil kerja Miousse untuk permainan video itu cukup teliti hinggakan dia bekerjasama rapat dengan artis tekstur demi memastikan setiap imej blok batu berada di tempat sepatutnya.

Sehingga kini belum dapat dipastikan sama ada Ubisoft akan menawarkan maklumat kepada kerajaan Perancis dalam hal itu.

Insiden kebakaran Katedral Notre Dame pada Isnin meninggalkan kesan mendalam pada pencinta sejarah, budaya dan seni bina.

Meskipun kejadian kebakaran itu memusnahkan banyak struktur penting pada ciri bangunan tersebut, strukturnya masih dalam keadaan baik, termasuk dua menara utamanya.

Namun bahagian puncak menara gereja yang tirus telah musnah sama sekali sebelum anggota bomba dapat memadamkan kebakaran.

Melihat pada kesan kemusanahan dan sisa bangunan yang masih terselamat, Presiden Perancis Emmanuel Macron telah berikrar untuk membina semula bangunan yang popular dalam kalangan pelancong sedunia itu.